ASNB: Nombor tunggal untuk semua akaun - Utusan Malaysia

ASNB: Nombor tunggal untuk semua akaun

MOHAMMAD HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) melaksanakan polisi nombor telefon mudah alih tunggal ke atas semua pemegang akauan unit amanahnya, sebagai inisiatif terkini untuk memberi perlindungan data peribadi dan privasi yang lebih baik.

Menurut syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalanan Nasional Berhad (PNB) itu, polisi berkenaan telah mula dilaksanakan pada 25 September lalu, sebagai penambahbaikan utama ke atas portal pelaburan myASNB.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, sebelum ini ASNB membenarkan perkongsian nombor telefon untuk akaun-akaun yang berbeza bagi memudahkan para pemegang unit mengurus akaun milik ahli keluarga, khususnya ibu bapa yang berusia dan kanak-kanak bawah 18 tahun.

Kata beliau, ketika itu, telefon mudah alih digunakan terutamanya bagi tujuan komunikasi dan bukan untuk mengesahkan sebarang transaksi.

Bagaimanapun katanya, dengan tersedia pelbagai kemudahan transaksi dalam talian di portal dan aplikasi myASNB, nombor telefon mudah alih kini digunakan untuk tujuan
pengenalan dan juga pengesahan.

“Polisi nombor tunggal ini akan meningkatkan lagi keselamatan untuk semua pengguna,” tambah beliau dalam kenyataan, semalam.

Mohammad berkata, pihaknya sedia maklum polisi itu akan menimbulkan sedikit kesulitan kepada para pemegang unit berbanding pendekatan yang lebih fleksibel sebelum ini.

“Walau bagaimanapun, kami yakin para pemegang unit sedar bahawa ancaman terhadap data peribadi dan privasi semakin meningkat sejak kebelakangan ini, dan pentingnya ASNB
mengambil langkah pencegahan yang bersesuaian untuk melindungi pelaburan mereka dengan kami,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pemegang unit boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03-7730 8899 (8 pagi – 8 malam setiap hari) atau e-mel kepada
[email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN