ASNB anjur program Fiesta Labur PNB@Home - Utusan Malaysia

ASNB anjur program Fiesta Labur PNB@Home

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), akan menganjurkan program Fiesta Labur PNB @Home.

Program tersebut akan dianjurkan menerusi platform Facebook Amanah Saham Nasional Berhad dari 29 hingga 31 Oktober ini bermula pukul 10 pagi hingga 5.30 petang.

Acara tahunan anjuran ASNB itu bakal menyediakan pelbagai aktiviti dan hiburan bagi seisi keluarga, sambil mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perancangan kewangan dalam kehidupan seharian.

MOHAMMAD HUSSIN

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, sebelum pandemik Covid-19, Fiesta Labur PNB yang mula dianjurkan pada 2016 pernah diadakan di Simunjan, Sarawak dan Putrajaya serta dianjurkan secara bersama di Karnival Jom Heboh TV3 bermula 2018.

“Bagaimanapun, seiring dengan norma baharu ketika ini, tahun ini ASNB menganjurkannya secara dalam talian menerusi Facebook rasmi kami supaya kami dapat terus mendekati orang ramai dan pelabur ASNB,” katanya dalam kenyatan.

Pelbagai ilmu dan maklumat pelaburan serta produk dan perkhidmatan ASNB akan dikongsi menerusi tiga segmen utama iaitu Borak-Borak Je, ASNB Kongsi dan Diva Labur.

Ketiga-tiga segmen itu kan menampilkan selebriti popular iaitu Ajak Shiro, Bell Ngasri, Haiza, Abby Fana dan DD Chronicle.

Mereka akan secara bergilir memudah cara program bersama panel jemputan termasuk penasihat kewangan berlesen, Dr. Adam Zubir dan Alwi Adam,YouTuber pengendali saluran kewangan Financial Faiz, Faiz Azmi, dan Pengarah Eksekutif Antarabangsa Akademi Penyelidikan Syariah bagi Kewangan Islam (ISRA), Professor Dr. Mohamad Akram Laldin.

Antara tajuk menarik yang akan dikupas dalam segmen ‘Borak-Borak’ Je ialah ‘Kelebihan Pelaburan Konsisten… Biar Kecil, Jangan Tiada Langsung’ oleh Dr. Adam Zubir; ‘Pulangan Tinggi, Apa yang Perlu Dikaji’ oleh Alwi Adam dan ‘Pembiayaan ASB – Ambil Ikut Kemampuan, Optimumkan Pulangan!’ oleh Faiz Azmi.

Mohammad memberitahu, program itu turut diadakan bersempena Bulan Literasi Kewangan 2021 anjuran Financial Education Network (FEN) yang berlangsung sepanjang Oktober ini. PNB merupakan ahli jaringan FEN yang bermatlamat memperkasa penyampaian ilmu perancangan kewangan kepada orang ramai.

“Untuk mencapai matlamat itu, kami menjemput ahli panel berpengalaman dalam bidang perundingan kewangan dan pelaburan, untuk berkongsi kepakaran dalam sesi khas Special Coaching.

Ia berbentuk kelas bimbingan dan khidmat nasihat bagi membantu peserta melabur dan mengurus kewangan dengan lebih baik dan berkesan,” jelasnya.

Sesi itu menyediakan tiga tajuk pilihan dengan ahli panel Strategi Memaksimumkan Pulangan Menerusi Pembiayaan ASB oleh Penasihat Asas Mengurus Kewangan untuk Mula Melabur oleh Penasihat Kewangan Berlesen, Alwi Adam; dan Kewangan Berlesen, Suzardi Maulan; Langkah Demi Langkah Urus Harta untuk Mudahkan Waris oleh Peguam di Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co., Nor Zabetha Muhamad Nor.

Sesi tersebut akan dibawakan menerusi platform Zoom dan mereka yang berminat hanya perlu mendaftar di pautan yang tersedia di laman Web rasmi Fiesta Labur, Facebook rasmi ASNB dan Sembang-Sembang ASNB.

Sementara itu, trivia istimewa Olympiad50: ASNB & Anda turut dianjurkan untuk menguji pengetahuan orang ramai mengenai ASNB, pelaburan dan perancangan kewangan.

Peserta perlu menjawab 50 soalan berkaitan untuk berpeluang memenangi hadiah bernilai RM500 seorang untuk lima orang pemenang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN