PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) wajar menggunakan kesempatan ketenangan pasaran global bulan ini untuk memotong kadar dasar semalaman (OPR) bagi menyokong ekonomi yang terkesan akibat situasi pandemik ketika ini.
Penyelidik Perbendaharaan OCBC Bank, Wellian Wiranto berkata, sokongan dasar kewangan berterusan diperlukan bagi melancarkan usaha ke arah pemulihan menjelang suku keempat tahun ini dan seterusnya menuju tahun hadapan.
Sehubungan itu, kata beliau, BNM wajar memotong 25 mata asas OPR pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 9 September ini.
Jelas beliau, mesyuarat MPC akan diadakan semasa sentimen pasaran global kelihatan kukuh.
“Peningkatan prestasi ringgit baru-baru ini boleh menjadi petanda kurang kebimbangan terhadap apa-apa impak mata wang yang hadir akibat pemotongan kadar.
“Walaupun keadaan terkini menunjukkan bahawa pengekalan situasi semasa adalah langkah yang lebih selamat, kami percaya bahawa BNM boleh memanfaatkan ruang yang muncul disebabkan ketenangan pasaran global untuk memotong kadar (OPR),” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Wellian, momentum ekonomi dalam beberapa bulan ini terus di bawah par disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan, malah prestasi ekonomi pada suku ketiga juga dijangka terus menyusut.
Walaupun perbandingan tahun ke tahun suku kedua menunjukkan peningkatan, prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menyusut dua peratus berbanding suku sebelumnya.
“BNM telah mengurangkan unjuran KDNK 2021 dari enam hingga 7.5 peratus kepada tiga hingga empat peratus. Walaupun kami bersetuju dengan pandangannya bahawa pertumbuhan akan dicapai pada suku keempat hingga tahun hadapan, risiko menurun tetap boleh dipertimbangkan.
“Eksport yang mendorong pertumbuhan baru-baru ini mungkin akan melemah dengan potensi permintaan yang rendah daripada dua pasaran utama, AS dan China,” katanya.
Tambahan lagi, kata Wellian, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan baru-baru ini juga menunjukkan ketidaktentuan unjuran untuk sektor tersebut.
“Sementara bacaan pada Ogos meningkat kepada 43.4 berbanding purata bacaan 40 untuk dua bulan sebelumnya, ia masih dalam zon penyusutan, berada di bawah garis 50 mata.
“Tinjauan terbaharu daripada Perseketuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) juga menunjukkan sentimen dalam kalangan pengilang masih lemah, dengan hanya 15 peratus responden menjangkakan perniagaan akan pulih segera,” katanya. – UTUSAN










