PETALING JAYA: UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) akan terus memberi tumpuan kepada pelancaran penyelesaian digital, terutama dalam menjana kemampanan di seluruh perniagaannya, walaupun dalam persekitaran operasi yang mencabar berikutan pandemik.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, syarikat komited dalam mengurus dan mengembangkan operasi merentasi pelbagai industri yang dipacu oleh visi Edgenta of the Future 2025 dalam meneroka pasaran baharu dengan pelbagai inovasi dan teknologi.
Beliau berkata, ia diterajui oleh Edgenta NXT, platform ekosistem digital pertama UEM Edgenta, serta memperluaskan penawaran perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan termasuk QuickMed.
“Janji kami untuk terus menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan akan kami tunaikan, sambil memperkukuh kehadiran dan terus berusaha mencari peluang serta pelaburan berpotensi untuk pertumbuhan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
UEM Edgenta merekodkan keuntungan bersih dinormalisasi sebanyak RM16.7 juta daripada pendapatan RM1 bilion bagi tempoh kewangan separuh pertama tahun ini.
Syahrunizam berkata, dengan orderbook semasa syarikat sebanyak RM11.6 bilion, dan kontrak baharu yang diperoleh lebih RM700 juta pada tahun kewangan ini, UEM Edgenta bersedia untuk memacu kemampanan dalam penawarannya, seterusnya memperoleh pendapatan jangka panjang dan mengukuhkan kehadiran di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, syarikat optimis untuk memperkukuh orderbook dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Menurut UEM Edgenta, sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian pendapatannya, syarikat telah mengenal pasti tiga asas utama iaitu pengembangan kehadiran dan memperkukuh asas penyelesaian; mengekstrak nilai daripada perniagaan teras dan penambahan produk serta penyelesaian berteraskan teknologi.
Tiga asas itu akan menjadikan UEM Edgenta sebagai syarikat penyelesaian berteknologi tinggi dengan fokus utama dalam penjagaan kesihatan menjelang 2025. – UTUSAN










