PETALING JAYA: Sistem ekonomi dan kewangan negara perlu ditransformasi ke arah lebih mampan, inklusif dan adil bagi mewujudkan ekonomi yang mampu menangani cabaran perubahan iklim.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan telah mengambil langkah proaktif di peringkat antarabangsa untuk mencapai sasaran tersebut dengan meningkatkan Sumbangan Ditentukan Nasional (NDC) untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG); menyertai Pakatan Menteri Kewangan untuk Perubahan Iklim (CFMCA) dan mengamalkan Prinsip Helsinki.
Di peringkat domestik pula, menurut beliau, negara akan mengambil beberapa langkah seperti melaksanakan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon; membangunkan Pelan Utama Bandar Rendah Karbon Kebangsaan dan membangunkan Garis Panduan Pasaran Karbon Sukarela serta Skim Perdagangan Pelepasan Domestik yang ketiga-tiganya merupakan langkah dalam Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC).
Beliau menjelaskan, matlamat berkaitan perubahan iklim ketika ini bukan sahaja boleh dicapai malah boleh membawa keuntungan ekonomi.
“Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), penekanan terhadap pelaburan hijau seperti tenaga boleh baharu (RE), mobiliti rendah karbon dan keberkesanan tenaga menawarkan peluang yang besar.
“Ia berpotensi meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga kira-kira dua peratus dan mencipta jutaan pekerjaan baharu sepanjang dekad ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya untuk Sidang Kemuncak The Cooler Earth CIMB 2021 yang diadakan secara maya semalam.
Menurut Tengku Zafrul, penyusunan agenda melibatkan perubahan iklim dan pemeliharaan alam sekitar membolehkan kerajaan merancang inisiatif belanjawan yang bersesuaian dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Kata beliau, ia membolehkan Malaysia tersenarai dalam kalangan 10 negara di dunia yang telah menyelarikan belajawan tahunannya dengan SDG mengikut penilaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dengan kemajuan tersebut, kata beliau, langkah tersebut akan ditambah baik dalam Belanjawan 2022 yang akan memberi fokus kepada pemulihan, daya tahan dan reformasi.
“Ini akan memandu beberapa inisiatif dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan. Rancangan tersebut akan digerakkan daripada apa yang dicapai dalam RMK-11, yang mana lebih RM7.2 bilion diperuntukkan kepada usaha meningkatkan daya tahan iklim dan langkah penyesuaian.
“Ini secara khususnya untuk menyokong agenda kemampanan sementara turut memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan keterangkuman,” katanya. – UTUSAN










