Transaksi hartanah suku pertama turun 44.7 peratus - Utusan Malaysia

Transaksi hartanah suku pertama turun 44.7 peratus

JUALAN unit subjualan mendominasi pasaran hartanah pada suku tersebut apabila ramai pemilik hartanah menjual aset mereka pada harga kompetitif. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah transaksi hartanah kediaman pada suku pertama 2021 turun 44.7 peratus berbanding suku sama tahun lalu, menurut laporan Maklumat Terkini Pasaran Hartanah Suku Pertama oleh PropertyGuru DataSense.

Menurut laporan tersebut, pembeli rumah kali pertama (FHB) menyumbang kepada sebahagian besar transaksi hartanah di seluruh pada suku tersebut dengan sumbangan sebanyak 61.2 peratus.

Katanya, FHB juga mengatasi pembelian oleh pelabur di tiga pasaran hartanah utama Malaysia iaitu Lembah Kelang, Johor dan Pulau Pinang, masing-masing sebanyak 13.2 peratus, 65.2 peratus dan 0.08 peratus.

Pengarah Urusan PropertyGuru Datasense, Joe Hock Thor berkata, penurunan keyakinan terhadap pasaran dari segi transaksi itu tidak mengejutkan berikutan peningkatan kebimbangan terhadap kes Covid-19 dan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih lemah daripada jangkaan.

“Namun, kami berbesar hati mengetahui insentif-insentif seperti Skim Rumah Pertamaku dan Kempen Pemilikan Rumah telah mendorong pembeli rumah kali pertama mengorak langkah ke arah pemilikan rumah pada suku ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, jualan unit subjualan mendominasi pasaran hartanah pada suku tersebut apabila ramai pemilik hartanah menjual aset mereka pada harga kompetitif bagi memperoleh wang tunai, seterusnya membolehkan FHB dan pelabur membuat pembelian pada harga di bawah nilai pasaran.

Menurut PropertyGuru DataSense, pemerhatian tersebut sangat ketara khususnya di Lembah Kelang yang telah mencatatkan rekod transaksi subjualan tertinggi dalam tiga tahun, iaitu sebanyak 83.72 peratus.

Joe mengulas, hartanah subjualan biasanya menarik minat pelabur yang lebih berpengalaman kerana boleh membuat bayaran pendahuluan yang memudahkan pelaburan dalam beberapa hartanah.

“Pasaran sekunder juga dapat meningkatkan akses kepada hartanah, khususnya unit bertanah di lokasi yang lebih baik.

“Berikutan kehabisan bank tanah, pembangunan baharu sering dijalankan di lokasi lebih terpencil yang mungkin mengambil masa lebih lama untuk pelabur menikmati pulangan daripada kenaikan nilai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN