Tidak perlu tunggu gaji minimum untuk tingkatkan gaji - Utusan Malaysia

Tidak perlu tunggu gaji minimum untuk tingkatkan gaji

ABDUL WAHID OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perniagaan di negara ini dinasihatkan supaya tidak menunggu peningkatan kadar gaji minimum untuk meningkatkan tawaran gaji yang wajar kepada pekerja mereka.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, adalah penting untuk majikan memastikan pekerja-pekerja mereka bukan sahaja menerima kadar gaji yang wajar, malah kemudahan yang baik dan persekitaran yang selesa dan selamat.

Kata beliau, dalam pengamalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), aspek sosial menuntut pelaksanaan amalan buruh yang adil dan pemberian hak penyertaan buruh seperti yang digariskan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Saya berharap syarikat di Malaysia tidak perlu menunggu pelaksanaan gaji minimum sebelum menawarkan upah yang adil kepada pekerja,” katanya dalam sidang akhbar bersama beberapa media terpilih selepas Sidang Kemuncak APAC 2021 yang diadakan secara maya.

Jelas beliau, sememangnya ada ruang untuk kerajaan meningkatkan kadar gaji minimum ketika ini yang berada pada paras RM1,200 secara berperingkat.

Namun, tegas beliau, kerajaan perlu menetapkan sasaran jangka panjang atau sederhana supaya perniagaan dapat membuat persediaan awal dan melakukan perancangan yang wajar.

“Ia akan menggalakkan syarikat untuk meningkatkan automasi dan menambah baik proses supaya mereka dapat mencipta lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi yang boleh disertai warga tempatan.

“Ia (seterusnya) akan bergerak kepada (penawaran) gaji yang selari dengan taraf kehidupan yang wajar,” katanya.

Semnetara itu, dalam sidang kemuncak tersebut, Abdul Wahid berkata, terdapat banyak peluang dalam kewangan sosial Islam dalam ekonomi pascapandemik yang boleh direbut pemain industri kewangan.

Kata beliau, kewangan Islam mempunyai potensi pertumbuhan global yang signifikan dan ia selari dengan ESG yang kini menjadi keutamaan dalam perkembangan kewangan global.

“Saya tidak fikir kewangan Islam bersaing dengan ESG. Ia saling melengkapi dan apabila ESG mendapat perhatian, begitu juga dengan kewangan Islam,” katanya.

Jelas beliau, prinsip patuh syariah dan ESG mempunyai kriteria yang sepunya, termasuk dari segi transaksi yang sah, tidak spekulatif dan berbahaya kepada manusia, masyarakat dan alam sekitar.

Tegas beliau juga, prinsip ESG dan komitmen ke arah pelepasan karbon bersih sifar bukan lagi pilihan sebaliknya kemestian untuk kemandirian korporat, memandangkan sudah lebih 130 negara menyatakan komitmennya untuk sasaran itu menjelang 2050 hingga 2060. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN