Tiada kesan signifikan kepada bank - Utusan Malaysia

Tiada kesan signifikan kepada bank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengecualian bayaran faedah bagi penerima bantuan moratorium dalam kalangan isi rumah berpendapatan 50 peratus terendah (B50) dijangka tidak akan memberikan impak yang signifikan kepada pendapatan bank.

MIDF Research dalam nota kajiannya berkata, langkah tersebut dijangka hanya memberi kesan antara 1.7 peratus sehingga 2.9 peratus kepada pendapatan faedah serta 3.1 peratus hingga 5.2 peratus kepada keuntungan sebelum cukai (PBT) bank dalam liputannya.

Institut penyelidikan itu membuat jangkaan tersebut berdasarkan simulasi yang dijalankan dengan unjuran 30 peratus sehingga 50 peratus isi rumah penerima moratorium berbanding keseluruhan buku pinjaman bank.

“Kami percaya impaknya bersifat marginal memandang­kan kesannya hanya kepada segmen yang sangat sempit dalam pendapatan faedah bank dan ia tidak mempengaruhi ke­seluruhan buku pinjaman bank.

“Pengecualian tersebut adalah untuk mereka yang mengambil moratorium pinjaman, hanya untuk mereka berpendapatan 50 peratus terendah dan hanya untuk tiga bulan terakhir 2021,” katanya.

Walau bagaimanapun, jelas MIDF Research, kebimba­ngan utama sektor perbankan ketika ini ialah kemungkinan kos kredit dan kualiti aset yang lebih tinggi disebabkan sekatan pergerakan berpanjangan.

Namun, institut penyelidikan itu masih optimis terhadap sektor tersebut untuk baki tahun ini dan tahun hadapan berdasarkan pemulihan ekonomi yang berlangsung selepas ekonomi mula dibuka secara beransur-ansur.

“Tambahan lagi, kami percaya bahawa sektor perbankan mampu menyerap peningkatan luar jangka kos kredit dan tekanan ke atas kualiti aset melihat kepada tahap penimbal tinggi yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Ekonomi Pusat Parti Pejuang Tanahair (Pejuan), Armin Ba­niaz Pahamin mempersoalkan tindakan kerajaan yang hanya bersetuju supaya bank mengecualikan bayaran faedah moratorium selama tiga bulan.

Kata beliau, ia menunjukkan ketidakprihatinan kerajaan terhadap kesukaran rakyat dan perniagaan yang sedang tenat dan berhadapan kemungkinan muflis.

“Moratorium pinjaman bukanlah satu kemudahan atau kemewahan yang patut dibahaskan dan dipertikaikan.

“Faedah perlu dikecualikan kepada semua penerima moratorium dan tidak patut dihadkan kepada tiga bulan sahaja.

“Moratorium dan pengecualian faedah tidak akan menjurus kepada kemuflisan institusi bank tetapi ia merupakan talian hayat terakhir rakyat dan perniagaan sebelum mereka tergolong dalam pinjaman tidak berbayar (NPL) dan kemudiannya dimufliskan,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa persatuan bank dan institusi perbankan yang dihubungi Utusan Malaysia menolak untuk memberi respons berkenaan isu tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN