TH catat pendapatan RM1.52 bilion - Utusan Malaysia

TH catat pendapatan RM1.52 bilion

SEBAHAGIAN besar pendapatan TH diperoleh daripada pelaburan pendapatan tetap. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Ta­bung Haji (TH) mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM1.52 bilion untuk separuh pertama tahun kewangan 2021 berakhir 30 Jun lalu.

Jumlah tersebut menurun satu peratus berbanding RM1.55 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut TH, walaupun pendapatan menurun, ia mencerminkan ketahanannya mena­ngani kelembapan ekonomi dan perniagaan yang sukar pada masa ini.

Sebahagian besar pendapatan TH diperoleh daripada pelaburan pendapatan tetap yang telah menyumbang sebanyak RM942.6 juta dalam tempoh setengah tahun pertama yang merangkumi 62 peratus daripada jumlah pendapatan kasarnya.

“Pelaburan saham turut menyumbang RM219.9 juta untuk tempoh semakan, mencatatkan peningkatan berbanding RM184.2 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Pelaburan ekuiti menyumbang 14 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan manakala pelaburan harta tanah memperoleh pendapatan sebanyak RM174.7 juta, diikuti pelaburan pasaran wang dengan pendapatan RM161.8 juta,” katanya dalam kenyataan semalam.

                                                                                                        GRAFIK UTUSAN/ANIS HUSIN

Dengan pendapatan tersebut dan mengambil kira perbelanjaan serta peruntukan zakat, TH mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.22 bilion dalam tempoh itu.

Ia menurun dua peratus berbanding keuntungan bersih RM1.25 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Jelas TH, antara faktor yang menyebabkan penurunan keuntungan adalah dari pelaburan harta tanah berikutan keadaan pasaran yang mencabar di­sebabkan pandemik Covid-19.

“Kedudukan kewangan TH terus kekal kukuh dengan aset berjumlah RM85.92 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM83.73 bilion pada 30 Jun 2021.

“Jumlah kos operasi juga hampir sama dengan kos pada tahun lepas, hasil langkah pe­ngurusan berhemah walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

“TH sentiasa mengambil langkah untuk mengoptimumkan perbelanjaan bagi memastikan pengurusan kos yang cekap,” katanya.

Pada 30 Jun lalu, jumlah deposit di TH berjumlah RM81.41 bilion, iaitu paras tertinggi sejak peubuhannya dengan jumlah pendepositi seramai 8.3 juta orang.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, walaupun tidak dapat menguruskan ibadah haji tahun ini, pihaknya tetap akan mengatur langkah yang diperlukan bagi menambah baik aspek persiapan haji mengikut peraturan dan syarat keselamatan baharu.

“TH sentiasa mengambil langkah berhati-hati pada separuh tahun kedua 2021 dengan mengambil kira penularan va­rian Covid-19 baru muncul.

“Namun, dengan proses vaksinasi yang telah ditingkatkan, pastinya ia akan menjadi pemang­kin kepada pertumbuhan semula ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN