PETALING JAYA: Kerajaan diharap dapat terus memberikan sokongan kepada industri automotif negara dengan meneruskan dan menambah baik inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan sebelum ini melalui Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan bulan hadapan.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, ia termasuk menyambung pengecualian cukai jualan untuk enam bulan lagi selain pengurangan cukai eksais untuk kenderaan.
Kata beliau, pengecualian cukai tersebut dapat membantu mengurangkan harga kenderaan seterusnya menarik lebih ramai potensi pelanggan untuk membeli kenderaan.
“Kita harap harga kenderaan dapat diturunkan (melalui) pengurangan cukai jualan dan cukai eksais supaya kenderaan boleh dibeli oleh lebih ramai orang.
“Pengecualian cukai jualan akan tamat pada Disember ini, jadi saya harap ia dapat dilanjutkan lagi selama enam bulan sehingga Jun tahun hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mei lalu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan pengecualian cukai jualan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan sepenuhnya luar negara (CBU) sehingga 31 Disember ini.
Inisiatif tersebut dimulakan kerajaan melalui pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bermula 15 Jun tahun lalu.

Mengulas mengenai situasi industri automotif ketika ini, Aishah berharap kawasan Lembah Kelang yang meliputi Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dapat beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) agar operasi bilik pameran dan jualan kenderaan dapat digerakkan dengan lebih rancak.
Menurut beliau, walaupun bilik pameran kenderaan telah dibenarkan beroperasi, ia terikat kepada jumlah pekerja yang telah divaksinasi dan jumlah pekerja yang terhad.
“Jumlah kes di Selangor dan Kuala Lumpur juga sudah berkurang, jadi kami berharap dua negeri ini tidak lagi diletakkan dalam Fasa 1,” katanya.
Semalam, jumlah kes Covid-19 di Selangor adalah sebanyak 2,407 kes manakala Kuala Lumpur sebanyak 631 kes.
Berkenaan isu kekurangan cip yang memaksa beberapa jenama kenderaan mengurangkan pengeluaran, Aishah berkata ia hanya memberi kesan kepada sesetengah jenama dan pembekal lapisan kedua. – UTUSAN








