Kurangkan cukai korporat dalam Bajet 2022
PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempergiatkan usaha bagi mengekal dan menarik pelabur-pelabur asing ‘berpindah’ ke negara ini melalui pengurangan cukai korporat dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan bulan depan.
Langkah itu penting bagi memastikan ekonomi negara terus bertahan dalam tempoh pandemik Covid-19 dan memasuki fasa pemulihan seperti yang ditetapkan kerajaan.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, kerajaan perlu melihat inisiatif pengurangan cukai korporat ke paras terendah bagi menarik pelabur asing.
Jelasnya, pelan jangka panjang dan tindakan yang strategik juga mesti diadakan kerana ia penting kepada pelabur-pelabur tempatan dan asing memahami hala tuju ekonomi negara.
“Walaupun pengecualian cukai untuk pelabur perintis telah dimasukkan dalam senarai belanjawan sedia ada, tetapi itu tidak mencukupi untuk ‘memikat’ mereka.
“Cukai korporat sebanyak 24 peratus boleh dianggap sudah tidak munasabah dan tidak kompetitif jika dibandingkan dengan Singapura yang menawarkan cukai korporat serendah 17 peratus serta Thailand dan Vietnam masing-masing sebanyak 20 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kementerian Kewangan sebelum ini mengeluarkan Kenyataan Pra-Bajet 2022 yang antara lain menekankan strategi pemantapan sistem percukaian menerusi sebuah kajian semula yang menyeluruh ke atas rangka kerja insentif cukai serta strategi meningkatkan hasil percukaian negara.
Kementerian turut menerbitkan Kertas Konsultasi Awam (KKA) bagi mendapatkan input daripada rakyat terhadap empat fokus iaitu penambahbaikan dasar perolehan kerajaan berkaitan barangan dan perkhidmatan, penambahbaikan program bantuan tunai, kajian insentif cukai dan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA).
Aimi Zulhazmi menegaskan, kerajaan juga perlu merombak pakej-pakej bantuan dengan sasaran yang realistik terutama dalam membantu lebih 1.1 juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan supaya dapat bertahan dalam jangka masa sederhana.
Ini memandangkan masih banyak perniagaan terpaksa ditutup walaupun telah diberikan pelbagai bantuan melalui lapan pakej terdahulu. – UTUSAN










