Syarikat affiliate asing jana ekonomi negara 17 peratus - Utusan Malaysia

Syarikat affiliate asing jana ekonomi negara 17 peratus

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejumlah 2,979 affiliate (sekutu) asing beroperasi di Malaysia tahun lalu dengan mencatatkan nilai tambah RM241 bilion, menyumbang 17 peratus kepada ekonomi Malaysia, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).

Jelasnya, krisis kesihatan global dan ketidaktentuan keadaan ekonomi semasa pandemik Covid-19 sepanjang 2020 telah mengganggu aktiviti perniagaan kebanyakan syarikat di Malaysia termasuk sekutu asing yang dikawal oleh syarikat induknya di luar negara (dengan melebihi 50 peratus pemilikan).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, itu dapat dilihat pada trend menurun oleh indikator terpilih yang digunakan untuk mengukur prestasi sekutu asing ini.

“Bilangan sekutu asing di Malaysia berkurang secara marginal sebanyak 0.4 peratus daripada 2,990 affiliate pada 2019. Nilai ditambah bagi affiliate asing ini turun 7.0 peratus berbanding tahun sebelumnya (2019: RM259.2 bilion),” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, pada masa yang sama, jumlah pekerja diupah oleh affiliate asing juga menurun sebanyak 0.9 peratus kepada 859,541 pekerja berbanding 2019, seperti digambarkan oleh pasaran buruh yang perlahan di negara ini.

Justeru, katanya, pampasan pekerja turut menurun kepada RM48.7 bilion daripada RM50.6 bilion setahun yang lalu.

DOSM telah menerbitkan Statistik Affiliate Asing di Malaysia (Inward FATS) 2020 dan Statistik Affiliate Malaysia di Luar Negeri (Outward FATS) 2019.

Mengulas lanjut mengenai prestasi Inward FATS mengikut aktiviti ekonomi, Mohd. Uzir memberitahu, sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama dengan nilai ditambah RM115.8 bilion, mencatatkan sumbangan tertinggi iaitu 48 peratus pada 2020.

“Sektor itu mempunyai seramai 640,434 pekerja dengan pampasan pekerja berjumlah RM33.3 bilion. Sektor perkhidmatan berada pada kedudukan kedua tertinggi bagi nilai ditambah sebanyak RM65.2 bilion atau menyumbang 27.0 peratus.

“Bilangan pekerja yang terlibat dalam sektor ini adalah seramai 176,710 pekerja dengan bayaran pampasan pekerja RM11.8 bilion pada 2020,” jelas beliau.

Tambah beliau, melihat kepada sekutu yang dikawal oleh syarikat Malaysia di luar negara (dengan pemilikan lebih daripada 50 peratus), prestasi terus menunjukkan momentum kenaikan pada 2019 berdasarkan kepada beberapa indikator.

Ujarnya, berbanding tahun lalu, Malaysia mencatatkan 2,237 sekutu di luar negara pada 2019, peningkatan sebanyak 0.9 peratus.

Sementara itu, kata beliau, perolehan bagi sekutu itu meningkat 1.3 peratus kepada RM335.2 bilion. Sekutu terbabit mempunyai seramai 412,937 pekerja berbanding 408,807 pada 2018.

“Pada masa yang sama, peningkatan bilangan pekerja telah menyumbang kepada pampasan pekerja yang lebih tinggi berjumlah RM23.8 bilion, meningkat 3.6 peratus berbanding RM23 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN