PETALING JAYA: Pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) bagi cukai tidak langsung dijangka membolehkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) meningkatkan hasil daripada cukai tidak langsung dan menjimatkan masa yang diluangkan untuk mengaudit pembayar cukai.
Menurut Ernst & Young Consulting Sdn. Bhd. (EY), cadangan itu juga membolehkan JKDM meningkatkan kepatuhan dalam kalangan pembayar cukai pada masa hadapan.
Kata syarikat perunding itu, di bawah SVDP, pembayar cukai digalakkan untuk mengikrarkan apa-apa cukai tidak langsung yang tidak dibayar, terkurang atau tersalah lapor kepada JKDM.
“Seperti SVDP yang dilaksanakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum ini, pembayar cukai yang menyertai SVDP bagi cukai tidak langsung dijangka menerima penalti yang lebih rendah.
“Juga berkemungkinan, selepas tempoh SVDP tamat, KDM akan meningkatkan penguatkuasaan dan menambah penalti,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut EY, tempoh ikrar sukarela dan syarat SVDP tersebut masih belum diumumkan dan ia pasti ditunggu-tunggu oleh pembayar cukai.
“SVDP bagi cukai tidak langsung membolehkan pembayar cukai melaksanakan semakan sendiri, membaiki ralat dan ketinggalan, memanfaatkan cukai tidak langsung kurang bayar dengan penalti lebih rendah dan bergerak ke hadapan dengan rekod bersih,” katanya.
Kelmarin, Kementerian Kewangan menerbitkan Kenyataan Pra-Belanjawan untuk Belanjawan 2022, yang pertama kali dilaksanakan di Malaysia.
SVDP bagi cukai tidak langsung merupakan antara cadangan dalam kenyataan tersebut. Pada 2018 hingga 2019, LHDN melaksanakan SVDP bagi cukai pendapatan, cukai pendapatan petroleum, cukai keuntungan harta tanah dan duti setem. – UTUSAN










