PETALING JAYA: Sunway Berhad, Sunway REIT dan Sunway Construction Group Berhad (SunCon) memenangi enam anugerah dalam dua majlis anugerah berprestij hasil amalan terbaik dalam tadbir urus korporat dan pelaporan korporatnya.
Ketiga-tiga syarikat tersebut masing-masing menerima satu anugerah dalam Anugerah Tadbir Urus Korporat Minority Shareholders Watch Group MSWG-ASEAN 2020 dan Anugerah Pertandingan Laporan Tahunan Antarabangsa (ARC) ke-35.
Menurut Kumpulan Sunway, Sunway Berhad diiktiraf dalam anugerah MSWG-ASEAN untuk tahun ketiga berturut-turut sejak 2018 manakala SunCon menerima anugerah untuk tahun kelima berturut-turut sejak 2016.
“Kami gembira apabila pemegang taruh kami menghargai tindakan positif yang kami ambil bagi memastikan amalan tadbir urus korporat dan pelaporan korporat yang baik.
“Kami akan terus mencipta nilai jangka panjang kepada semua pemegang taruh dengan tanggungjawab dan komitmen kumpulan terhadap amalan ESG terbaik sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata Presidennya, Tan Sri Chew Chee Kin.
Dalam Anugerah Tadbir Urus Korporat MSWG-ASEAN, Sunway Berhad tersenarai dalam kalangan empat syarikat terbaik dalam kategori Produk dan Perkhidmatan Industri manakala Sunway REIT dan SunCon merupakan pemenang tunggal dalam sektor masing-masing, iaitu dana pelaburan hartanah dan pembinaan.
Ketiga-tiga syarikat tersebut juga disenaraikan dalam kalangan 30 syarikat dengan tadbir urus korporat terbaik daripada keseluruhan 851 syarikat senaraian awam yang dinilai oleh MSWG.
Dalam Anugerah Antarabangsa ARC, Sunway Berhad memenangi pingat gangsa untuk Laporan Tahunan Interaktif kategori Laporan Mampan manakala SunCon juga meraih gangsa untuk Laporan Tahunan versi PDF untuk kategori Pembinaan dan Bangunan.
Sunway REIT pula meraih emas untuk Laporan Tahunan versi PDF untuk kategori REIT (komersial/industri/pejabat). – UTUSAN










