PETALING JAYA: Stesen Janakuasa Battersea, yang dibangunkan oleh konsortium terdiri daripada SP Setia Bhd., Sime Darby Property Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kini dihubungkan ke bandar London menerusi sambungan laluan utara baharu.
Sambungan dari Kennington ke Stesen Janakuasa Battersea melalui Nine Elms telah dibuka kepada orang ramai pada 20 September lalu. Pembukaan tersebut menyaksikan stesen terbabit menambah baik stesen Kereta Api Bawah Tanah London Zon 1 yang baharu.
Pengerusi Syarikat Battersea Holding, Datuk Ahmad Pardas Senin berkata, pelancaran sambungan laluan utara itu adalah momen bersejarah dalam sejarah pengangkutan Britain.
“Kami gembira dapat menyokong dan menyumbang kepada projek infrastruktur penting itu, yang akan secara signifikan meningkatkan kesalinghubungan antara kejiranan selatan dan seluruh London secara ketara di samping menyumbang kepada pemulihan ibu negara itu daripada pandemik,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Syarikat Pembangunan Stesen Tenaga Battersea, Datuk Wong Tuck Wai berkata, pengangkutan baharu itu adalah sesuatu yang berbeza berbanding sebelumnya untuk Battersea dan Nine Elms yang menjadikan Stesen Janakuasa Battersea antara destinasi yang berhubung baik di ibu negara.
Ujarnya, sambungan laluan itu menjadikan masa perjalanan ke West End dan pusat bandar selama lebih kurang 15 minit.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Stesen Janakuasa Battersea, Simon Murhpy berpendapat, meningkatkan laluan pengangkutan ke kawasan London telah menjadi asas kepada pembangunan itu sejak awal lagi.
“Ketika kami menghitung waktu untuk stesen tersebut dibuka kepada orang ramai pada tahun hadapan, kami berharap dapat menyambut lebih banyak pengunjung yang melakukan perjalanan di laluan baharu dari seberang ibu kota dan lebih jauh untuk menikmati kawasan persisiran sungai yang berkembang pesat di Stesen Janakuasa Battersea,” katanya. – UTUSAN










