SME Bank, SDB meterai MoU RM150 juta - Utusan Malaysia

SME Bank, SDB meterai MoU RM150 juta

ARIA Putera Ismail (duduk, kiri) dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif SDB, Datuk Vincent Pung Yee Kiong menandatangani MoU disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd. Noor (berdiri tengah); Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong (berdiri, kiri); Menteri Kewangan II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (berdiri, dua kiri) dan Pengerusi SDB, Datuk Pengiran Hassanel Pg. Mohd. Tahir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SME Bank memeterai memorandum per­sefahaman (MoU) dengan Sabah Development Bank Berhad (SDB) yang merangkumi pelbagai pakej pembiayaan serta program pembangunan usahawan bernilai RM150 juta.

Menurut SME Bank, antara inisiatif yang terkandung dalam MoU tersebut termasuk menyediakan Pakej Pembiayaan dengan Jaminan SDB dan kemudahan pembiayaan club deal bagi projek berskala besar untuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah.

Katanya, MoU itu turut menggariskan perkongsian sumber dan kerjasama melaksanakan program pembangunan usahawan serta mempromosikan kemudahan yang disediakan oleh kedua-dua pihak.

“Antara sektor yang menjadi perhatian dalam kerjasama ini ialah perindustrian, pelanco­ngan dan aktiviti pembuatan serta perdagangan sektor pertanian yang seiring dengan teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2021-2025.

“Kerjasama ini juga merupakan salah satu usaha memulihkan kembali prestasi ekonomi negeri Sabah yang terjejas akibat pandemik Covid-19 de­ngan pembukaan semula aktiviti ekonomi di Sabah di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Kedua,” katanya dalam kenyataan semalam.

Presiden Kumpulan dan Ke­tua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, SME Bank telah lama bertapak di Sabah dan melalui tiga cawangannya di Pusat Wilayah Sabah, Pusat Enterpris Kota Kinabalu dan Pusat Enterpris Tawau, lebih RM118 juta pembiayaan telah diluluskan kepada 185 PKS pada 2020.

Kata beliau, sehingga Julai lalu pula, pembiayaan bernilai RM88 juta telah diluluskan kepada 150 PKS bagi tahun ini.

“Kerjasama pada hari ini me­rupakan inisiatif bagi memboleh­kan SME Bank dan SDB menawarkan pakej yang lengkap kepada usahawan-usahawan PKS di Sabah secara khusus.

“Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan yang memegang mandat memupuk dan membangunkan PKS negara, adalah penting untuk SME Bank meluaskan jaringan perkhidmatan tidak ada PKS yang ketinggalan dalam me­nerima bantuan.

“Anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Deve­lopment and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) akan turut sama menawarkan program pembangunan keusahawanan dan keupayaan yang bersesuaian bagi memperkasakan lagi usahawan PKS di bawah ekosistem SDB,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN