Skim OPIMIS galak penggunaan mekanisasi sawit - Utusan Malaysia

Skim OPIMIS galak penggunaan mekanisasi sawit

AHMED PARVEEZ GHULAM KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skim Insentif Mekanisasi Sawit (Opimis) yang diperkenalkan kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggalakkan penggunaan mekanisasi dalam sektor perladangan sawit bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja pada masa ini.

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, terdapat penerima skim Opimis yang menunjukkan peningkatan produktiviti kerja sehingga 40 peratus.

Menurut beliau, skim tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada penggiat industri terutama pengusaha ladang dan pekebun kecil.

“Jelas terbukti, penggunaan mekanisasi merupakan penyelesaian yang berkesan terutama pada situasi kekurangan tenaga kerja pada masa ini.

“Oleh itu, penggunaan mekanisasi dalam perladangan sawit dapat mengurangkan sedikit sebanyak kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” kata beliau semasa Webinar Skim Opimis anjuran MPOB.

Beliau berkata, peruntukan yang disediakan melalui skim tersebut telah memberi manfaat kepada hampir 650 penerima dengan jumlah pembelian mesin hampir 1,400 unit merangkumi pelbagai jenis jentera dan alatan ladang.

“Berdasarkan sambutan penggiat industri, permintaan dan penggunaan mesin adalah menjadi satu alternatif dalam sektor perladangan,” ujarnya.

MPOB dan pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) terus berusaha untuk mengatasi masalah kebergantungan kepada tenaga kerja dengan pendekatan yang lebih drastik.

Ini termasuk penubuhan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) bagi menyokong aktiviti penyelidikan dalam bidang mekanisasi perladangan sawit.

Tambah Ahmad Parveez, prestasi semasa harga minyak sawit yang berada pada paras stabil sekitar RM4,200 hingga RM4,500 satu tan memberi keuntungan kepada penggiat industri sawit untuk pelaburan dalam teknologi mekanisasi ladang sawit.

“Dengan pelbagai peralatan mekanisasi atau teknologi yang tersedia, diharap penggiat sektor perladangan sawit negara dapat melabur sebahagian daripada keuntungan dengan menerapkan teknologi dalam operasi ladang demi mencapai kelestarian industri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN