PETALING JAYA: Shopee mengembangkan perkhidmatannya dengan melancarkan ShopeeFood yang menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan melalui aplikasi Shopee.
Perkhidmatan tersebut dilancarkan secara berperingkat kepada penduduk Lembah Klang bermula 24 September ini, dengan menawarkan akses kepada pelbagai kedai makan termasuk restoran terkenal seperti A&W, Burger King, Nando’s, Starbucks dan Tealive.
Ketua Pegawai Operasi Shopee, Terence Pang berkata, perkhidmatan baharu itu turut membolehkan peniaga makanan dan minuman untuk beroperasi secara dalam talian bagi menjangkau lebih ramai pelanggan, sekali gus memacu pertumbuhan jangka panjang peniaga tersebut.
“Kami gembira dapat menambahkan penghantaran makanan sebagai sebahagian daripada pengalaman di Shopee. Rakyat Malaysia kini dapat membeli segala barang keperluan mereka di atas talian, menikmati hiburan di Shopee Live, bermain permainan kegemaran mereka di Shopee Prizes dan menggunakan aplikasi kami untuk memenuhi keinginan makanan mereka.
“Kami berharap para pengguna dan rakan niaga kami akan menikmati penggunaan ShopeeFood. Kami akan terus menaik taraf platform dan perkhidmatan kami agar dapat memenuhi keperluan semua dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sebagai sebahagian daripada pelancarannya, ShopeeFood akan memberikan baucar Penghantaran Percuma dengan pembelanjaan minimum RM0 dan baucar diskaun bernilai hingga RM8 kepada pengguna-pengguna baharu.
Bermula 24 hingga 28 September, ShopeeFood akan menawarkan tawaran makanan bernilai RM10 ke bawah sementara stok masih ada. – UTUSAN










