PETALING JAYA: Bursa Malaysia pada petang ini ditutup 18.74 mata lebih rendah berbanding semalam, dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,578.89 mata.
Kaunter rugi mengatasi untung dengan 747 berbanding 338 kaunter. Sementara 413 kaunter tidak berubah dan 721 lagi tidak diniagakan.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, penurunan itu adalah disebabkan oleh sentimen global yang merasakan pertumbuhan ekonomi akan kekal perlahan kerana kemungkinan berlakunya penurunan dalam pemberian bantuan fiskal oleh kerajaan.
“Selain itu, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) dianggap sebagai petanda ekonomi masih belum menunjukkan pertumbuhan yang diharapkan.
“Oleh itu, Bursa Malaysia dijangka akan berlegar sekitar 1,570 hingga 1,580 mata sehingga hujung minggu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dari segi kaunter, Ahmed Razman memberitahu, kaunter teruntung adalah kaunter perladangan disebabkan harga getah dan minyak sawit kekal tinggi.
Bagi ringgit pula, beliau menjelaskan ringgit kekal kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan permintaan atas komoditi seperti minyak dan minyak sawit yang kekal tinggi. – UTUSAN








