PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti (SC) melancarkan Pelan Induk Pasaran Modal Ketiga (CMP3) yang akan berfungsi sebagai rangka kerja strategik bagi pertumbuhan pasaran modal Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurut SC, ia berusaha untuk memanfaatkan daya tahan dan potensi pasaran modal Malaysia bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif.
CMP3 dilancarkan secara maya oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata, CMP3 sesuai dengan aspirasi negara sebagai salah satu pemboleh utama yang akan membuka jalan bagi populsi yang lebih luas untuk turut serta dalam pertumbuhan negara dengan membolehkan produk pelaburan yang lebih inklusif dan saluran mudak diakses.
“Dengan CMP3 sebagai panduan strategik untuk pasaran modal kita dalam tempoh lima tahun yang akan datang, saya yakin ia akan terus memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, Malaysia kini berada di persimpangan
kritikal dalam hala tuju pasca pandemik.
Beliau berkata, adalah penting bagi pasaran modal untuk kekal menyokong ekonomi ketika Malaysia beralih ke negara yang inklusif dan mampan.
“Kemajuan dalam pasaran modal tidak boleh hanya diukur dengan pertumbuhan dan saiz, ia juga harus memenuhi keperluan dasar dan aspirasi negara serta rakyatnya,” katanya.
SC memberitahu, CMP3 mempertimbangkan trend mega antarabangsa yang akan membentuk pemulihan dan pertumbuhan ekonomi global di Malaysia, di samping mendorong pasaran modal menuju tiga hasil keluaran yang diinginkan.
Tiga hasil itu ialah, relevan kepada pembangunan ekonomi dan pihak berkepentingan, cekap dalam mobilisasi dan mencapai hasil kawal seliaan yang diinginkan dan berpelbagai dalam mewujudkan nilai untuk semua peserta.
Katanya, untuk mencapai hasil keluaran yang diinginkan ini, CMP3 menggariskan enam teras pembangunan dan peraturan utama, yang secara kolektif akan berfungsi sebagai prinsip dalam membangunkan inisiatif strategik selama lima tahun akan datang.
“Prinsip pembangunan pertama ini akan memudahcara pengumpulan dana untuk perniagaan kompetitif melalui ekosistem pasaran dan perantaraan yang berpelbagai.
“CMP3 juga bertujuan untuk meningkatkan kewibawaan semua rakyat Malaysia untuk melabur bagi masa depan mereka, di samping mempromosikan rangkuman digital dan perlindungan untuk pelabur yang rentan. Selain itu, melalui prinsip Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) dan Pasaran Modal Islam (ICM), CMP3 bertujuan untuk membentuk ekonomi pihak berkepentingan dengan menggerakkan lebih banyak modal ke arah perniagaan yang mampan,” katanya. – UTUSAN










