Saham Indonesia jatuh paras terendah - Utusan Malaysia

Saham Indonesia jatuh paras terendah

PENINGKATAN kes Covid-19 telah menjejaskan keyakinan pengguna di Indonesia, sekali gus menjejaskan prestasi bursa dan nilai rupiah. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENGALURU: Pasaran saham Indonesia mencapai paras te­rendah dalam tempoh hampir dua minggu dan rupiah berada pada landasan untuk sesi terburuk dalam hampir tiga minggu semalam, selepas data menunjukkan keyakinan pengguna di negara itu jatuh bulan lalu.

Mata wang negara Asia baharu muncul turut melemah berbanding dolar AS yang lebih kukuh semalam, dengan baht Thailand dan won Korea Selatan mendahului kejatuhan, di sebalik kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi yang lambat di Amerika Syarikat (AS) menjejaskan pasaran ekuiti.

Pasaran ekuiti di Jakarta turun sebanyak 1.2 peratus ke paras terendah sejak 27 Ogos, setelah tinjauan bank pusat negara itu menunjukkan indeks keya­kinan pengguna turun le­bih jauh pada Ogos kepada 77.3 mata, daripada 80.2 mata pada bulan sebelumnya.

Mata wang rupiah dilaporkan susut 0.4 peratus kepada 14,265 berbanding dolar AS.

Tinjauan itu bagaimanapun mendapati sedikit kelegaan berkaitan pandemik bagi negara paling ramai penduduk di Asia Tenggara itu, apabila kadar positif harian Covid-19 kelmarin, buat kali pertama jatuh di bawah penanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ringgit Malaysia juga dilaporkan merosot sedikit dan bursa di Kuala Lumpur bagaimanapun agak stabil menjelang pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), esok (hari ini).

Tinjauan Reuters menunjukkan, bank pusat Malaysia itu dijangka mengekalkan OPR pada kadar 1.75 peratus ketika negara itu secara bertahap membuka kembali ekonominya di tengah peningkatan vaksinasi Covid-19.

Baht, salah satu mata wang dengan prestasi terburuk di rantau ini pada 2021, turun 0.5 peratus lagi, ketika dolar AS mengukuh ke paras tertinggi. Won pula susut 0.6 peratus berbanding dolar.

“Beberapa penekanan daripada tanda-tanda aliran keluar portfolio dalam beberapa hari terakhir mungkin membebani bath,” kata penganalisis di Maybank dalam satu catatan.

Sesi pasaran secara relatifnya agak lemah di Wall Street menjejaskan saham-saham di rantau ini, dengan Singapura, Korea Selatan dan Thailand susut antara 0.1 peatus dan 0.8 peratus.

Sementara itu, seorang pegawai kanan di Filipina berkata, Manila akan tetap berada di bawah fasa kedua perintah kawalan pencegahan Covid-19, meskipun kerajaan sebelum itu mengumumkan pelonggaran sekatan. Perkembangan itu menyebabkan bursa di Manila turun 0.3 peratus. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN