PETALING JAYA: Penganalisis berpendapat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) harus mengutamakan polisi jangka panjang yang lebih fundamental, membasmi kemiskinan, mengurangkan jurang pendapatan, infrastruktur yang tersusun dan perpaduan.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, RMK-12 dijangka menjadi pelan ekonomi negara untuk jangka sederhana dan panjang bagi memulihkan iklim ekonomi negara yang teruk, diselaputi dengan pandemik Covid-19 selama hampir dua tahun.
Oleh itu, ujarnya, RMK-12 diharapkan dapat memberi hala tuju pemulihan dan pembangunan untuk ekonomi negara.
“Cadangan saya ialah untuk membina kembali model ekonomi Malaysia baharu yang lebih relevan dengan situasi global sekarang. Contohnya, seperti negara China yang telah melancarkan program Made In China 2025 yang memfokuskan kepada semua aspek berlandaskan teknologi tinggi dan menggalakkan penyelidikan serta pengkomersialan.
“Malaysia tidak lagi sesuai dengan ekonomi berlandaskan pengeluaran yang murah untuk menarik pelabur asing (FDI),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menjelaskan, negara perlu menarik FDI yang menawarkan teknologi tinggi, menggunakan tenaga mahir pekerja seperti graduan dari universiti tempatan.
Jelas Aimi, itu sekali gus akan mengurangkan isu pengangguran dalam kalangan graduan yang berkemahiran tinggi.
Selain itu, katanya, cukai korporat juga perlu dikaji semula supaya Malaysia boleh menjadi tarikan utama FDI.
“Kadar sekarang iaitu sebanyak 24 peratus tidak kompetitif, berbeza dari Singapura dan Thailand dengan kadar masing-masing sebanyak 17 peratus dan 20 peratus sahaja.
“Perbezaan itu adalah kerana saingan sengit untuk menarik syarikat multinasional (MNC) bagi menubuhkan ibu pejabat mereka,” jelasnya.
Aimi berkata, kerajaan telah menggunakan polisi fiskal yang banyak untuk membantu memulihkan ekonomi negara. Kini tiba masanya untuk mengajak pihak swasta bersama-sama membangunkan semula ekonomi negara.
Menurut beliau, kerajaan harus berani menawarkan pelbagai insentif kepada mereka. Sebagai contoh, pengecualian cukai dan pemberian geran galakan pengambilan pekerja tempatan.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, keutamaan juga harus diberikan kepada agenda pemerkasaan bumiputera.
“Seperti yang kita tahu, agenda itu masih ketinggalan dan tidak dapat mencapai hasrat Dasar Ekonomi Baharu (DEB) sekali gus menimbulkan kegusaran dan menjadi antara penyebab sedikit sebanyak punya yang menggugat keharmonian,” katanya. – UTUSAN










