RMK-12: Pertimbang insentif pacu pengeluaran kenderaan elektrik - Utusan Malaysia

RMK-12: Pertimbang insentif pacu pengeluaran kenderaan elektrik

KEMUDAHAN mengecas kenderaan elektrik antara perkara yang perlu diberi tumpuan untuk memacu sektor berkenaan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tarik minat pengeluar OEM melabur di negara ini

PETALING JAYA: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) perlu mempertimbangkan pemberian insentif untuk kenderaan elektrik (EV) agar dapat menarik minat pengeluar peralatan tulen (OEM) melabur dalam industri tersebut di negara ini, sekali gus membantu melonjakkan sektor automotif negara.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, inisiatif itu penting bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan daripada memperoleh pelaburan EV  seperti negara ASEAN lain antaranya Thailand, Indonesia dan Singapura.

“Pelaburan berkualiti tinggi ini amat penting dalam memastikan sektor automotif negara tidak ketinggalan dalam proses pemulihan daripada pandemik Covid-19. Justeru, kerajaan perlu mengambil langkah yang tepat supaya kita tidak ‘terlepas’ pelaburan berkualiti tinggi yang membantu ekonomi negara.

“Selain itu, kerajaan perlu memastikan polisi industri automotif negara dalam RMK-12 nanti adalah untuk jangka masa panjang bagi menarik pelabur industri dari luar negara. Jika  tempohnya hanya jangka pendek, kemungkinan akan mempengaruhi keputusan mereka untuk melabur di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Sebelum ini, Petronas Lubricants International (PLI) memaklumkan pasaran automotif menyaksikan peningkatan jualan kenderaan elektrik (EV), EV bateri dan EV hibrid ‘plug-in’ yang kukuh walaupun permintaan terhadap kende raan susut berikutan pandemik Covid-19.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri(MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini dilaporkan berkata, pelaburan berimpak tinggi akan turut ditumpukan kepada sektor-sektor baharu yang selari matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) termasuk industri halal, automotif dan ekonomi digital.

RMK-12 dijangka dibentangkan di Parlimen hari ini manakala Bajet 2022 dijadualkan pada 29 Oktober depan.

Ditanya mengenai harapan Bajet 2022 bagi membantu pemulihan industri automotif, Aishah mencadangkan cukai kenderaan penumpang diturunkan agar rakyat yang sebahagian  besarnya terjejas akibat Covid-19 lebih mampu melakukan pembelian.

Ujarnya, MAA juga berharap cukai jualan ke atas kenderaan penumpang yang akan tamat menjelang akhir tahun ini dilanjutkan lagi bagi melonjakkan jualan industri.

“Sedikit kelonggaran ini amat penting untuk kami kembali pulih setelah keseluruhan rantaian bekalan dalam sektor automotif terjejas teruk susulan penutupan penuh operasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketat (PKPD) terdahulu.

“Sebelum ini, operasi perniagaan di dalam kawasan PKPD terutama di beberapa daerah di Selangor dan Kuala Lumpur terkesan ekoran gangguan rantaian bekalan kerana tidak boleh beroperasi,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN