PETALING JAYA: Ringgit dijangka akan mengukuh buat sementara waktu berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas beberapa petanda pasaran melihatkan mata wang utama dunia itu akan melemah sekurang-kurangnya sehingga berakhir suku ketiga tahun ini.
Ketua Ahli Ekonomi Penyelidikan Pasaran Kumpulan RHB, Dr. Sailesh K. Jha berkata, dolar AS dijangka melemah melihat kepada keluk Perbendaharaan AS (UST) yang mencuram disebabkan peningkatan Kadar Dana Persekutuan (FFR) pada 2022.
Menurut beliau, secara purata, keluk UST yang mencuram dikaitkan dengan kelemahan dolar AS.
“Dalam jangka pendek, kami menjangkakan indeks dolar AS (DXY) jatuh ke bawah paras 92. Ramalan purata indeks DXY kami untuk separuh kedua 2021 adalah di antara 91 hingga 92 dan untuk suku ketiga, ia pada purata 92.61 setakat ini.
“Kami menjangkakan dolar AS melemah berbanding ringgit pada sekitar 4.11 hingga 4.14 buat sementara waktu,” katanya dalam nota kajian semalam.
Menurut Sailesh, terdapat tiga faktor utama penurunan prestasi dolar AS berbanding ringgit iaitu asas domestik yang positif dan berita berkaitan dasar akan mendominasi sentimen terhadap ringgit.
Selain itu, secara luaran, pihaknya meramal kelemahan dolar AS yang luas berbanding mata wang pasaran maju seperti euro disebabkan pasaran secara jangka pendek terus menolak pengurangan bantuan kewangan oleh Persekutuan AS serta ringgit mempunyai kelebihan dari segi teknikal, kedudukan dan aliran.
“Kami percaya penurunan dolar AS ketika ini adalah sementara dan pusingan U akan dicapai pada suku keempat 2021.
“Kami mengekalkan ramalan dolar AS berbanding ringgit akhir suku keempat 2021 dan akhir suku pertama 2022 masing-masing pada 4.20 dan 4.30,” katanya.
Jelas Sailesh, pada suku keempat 2021, pihaknya menjangkakan indeks DXY berada pada purata 92 hingga 93.5 apabila keluk UST melandai.
Beliau turut mengulas berkenaan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan dilangsungkan esok bagi menentukan apa-apa keputusan tentang Kadar Dasar Semalaman (OPR).
“Kami menjangkakan tiada perubahan dalam OPR dan pendirian dasar yang neutral akan diumumkan,” katanya.
Semalam, ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS pada kadar RM4.1555 berbanding RM4.1477 kelmarin. – UTUSAN








