Rantaian bekalan terganggu, kilang Asia hilang momentum - Utusan Malaysia

Rantaian bekalan terganggu, kilang Asia hilang momentum

BANYAK sektor perkilangan ditutup di China dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Aktiviti perkilangan di Asia kehilangan momentum bulan lalu disebabkan gangguan dalam rantaian bekalan di seluruh rantau disebabkan peningkatan kes Covid-19.

Keadaan tersebut dikhuatiri akan menyebabkan kemerosotan dalam aktiviti pembuatan, seterusnya memburukkan situasi ekonomi akibat penyusutan penggunaan.

Aktiviti pembuatan bulan lalu berkembang pada kadar yang lebih perlahan di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan disebabkan kekurangan cip dan penutupan kilang yang menganggu pengeluaran, menurut tinjauan yang diterbitkan semalam.

Aktiviti perkilangan di China bulan lalu menyusut buat pertama kali dalam tempoh hampir 18 bulan apabila langkah pembendungan Covid-19, penguncupan bekalan dan harga bahan mentah yang tinggi memberi kesan kepada output.

Hasilnya jauh daripada jangkaan pasaran, mendedahkan kerapuhan dalam pemulihan ekonomi China yang telah membantu ekonomi global bangkit daripada kelembapan akibat pandemik.

Ahli ekonomi di Capital Economics, Alex Holmes berkata, gangguan akibat Covid-19 menambah kekusutan pengeluar rantau Asia, selepas menghadapi kekurangan semikonduktor dan kos penghantaran yang tinggi.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Caixin/Markit jatuh kepada 49.2 mata bulan lalu berbanding 50.3 pada Julai, melepasi penanda aras 50 mata yang membezakan pertumbuhan dengan penyusutan.

“Peningkatan kes Covid-19 terbaharu mendatangkan cabaran yang besar kepada penormalan ekonomi yang bermula pada suku kedua tahun lalu,” kata ahli ekonomi kanan Caixin Insight Group, Wang Zhe.

Tinjauan sektor swasta selepas penerbitan PMI rasmi Selasa lalu menunjukkan indeks tersebut menyusut bulan lalu namun masih berada di atas penanda aras 50 mata.

PMI terakhir Jibun Bank di Jepun pada Ogos berkurang kepada 52.7 berbanding 53 pada bulan sebelumnya dengan tempahan eksport baharu mencatatkan penyusutan pertama mereka sejak Januari.

PMI Korea Selatan pada bulan lalu adalah pada 51.2 mata, berkurang berbanding 53 pada Julai tetapi masih di atas nilai ambang 50 mata untuk bulan ke-11 berturut-turut.

PMI Taiwan berkurang kepada 58.5 mata pada Ogos berbanding 59.7 pada bulan sebelumnya, sementara Vietnam menyaksikan aktiviti perkilangannya menguncup kepada 40.3 berbanding 45.1 pada Julai.

Pernah dianggap sebagai pemacu pertumbuhan global, ekonomi baru muncul di Asia memperlahankan pemulihan ekonomi maju disebabkan pengedaran vaksin yang perlahan dan peningkatan kes varian Delta yang memberi kesan kepada penggunaan dan pengeluaran kilang. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN