PARIS: Peningkatan pesat dalam pertumbuhan global berada di landasan tepat tetapi masih terlalu awal bagi kerajaan dan bank-bank pusat untuk menarik bantuan rangsangan ekonomi di sebalik lonjakan inflasi, kata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Menurut pertubuhan yang berpangkalan di sini, setelah merosot 3.4 peratus pada tahun lalu semasa krisis terburuk Covid-19, ekonomi dunia dijangka berkembang 5.7 peratus tahun ini, kurang 0.1 peratus daripada unjuran sebelum ini.
Badan itu menjangkakan pertumbuhan global akan menurun kepada 4.5 peratus pada tahun depan, naik 0.1 peratus daripada ramalan yang dibuat Mei lalu.
“Pemulihan pesat telah membawa produk domestik global kembali ke tahap pra-Covid, walaupun aktiviti masih perlahan di banyak negara membangun di mana kadar vaksinasi kekal rendah,” katanya, semalam.
OECD berpendapat, kadar inflasi membabitkan Kumpulan 20 ekonomi utama dunia (G20) akan berada sekitar 4.5 peratus, didorong oleh pemulihan permintaan untuk barangan dan rantai bekalan, sebelum turun kepada sekitar 3.5 peratus pada akhir 2022.
Justeru badan itu menasihatkan bank-bank pusat agar mengekalkan dasar monetari yang `longgar’, pada masa yang sama menawarkan petunjuk yang jelas tentang sejauh mana mereka dapat bertoleransi dengan kenaikan inflasi.
Pada masa yang sama katanya, kerajaan juga perlu kekal bersikap `fleksibel’ dengan bantuan kewangan untuk menyokong pemulihan ekonomi memandangkan prospek jangka pendek masih belum jelas.
OECD menjangkakan ekonomi Amerika Syarikat (AS) berkembang sebanyak 6 peratus pada tahun ini, sebelum turun kepada 3.9 peratus tahun hadapan.
Pertubuhan itu turut mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi China pada tahun ini sekitar 8.5 peatus dan 5.8 peratus tahun hadapan. Bagi blok Eropah pula, ia meramalkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus dan 4.6 peratus pada 2022. – AGENSI










