PETALING JAYA: RAM Ratings memberikan penarafan AA1/Stabil kepada Widad Concession Sdn. Bhd. (Widad Concession) bagi cadangan kemudahan Sukuk Wakalah RM310 juta.
Widad Concession merupakan subsidiari milik penuh Widad Group Berhad (WGB) yang ditubuhkan bagi membiayai kos pemerolahan untuk perkongsian awam swasta (PPP) atau inisiatif kewangan projek yang diusahakan oleh YBK Usahasama Sdn. Bhd. (YBKU).
Mengulas perkara itu, Pengarah Urusan Kumpulan WGB, Datuk Dr. Mohd. Rizal Mohd. Jaafar berkata, penarafan yang diberikan oleh RAM Ratings mengukuhkan lagi keyakinan terhadap WGB di dalam visinya untuk terus membangun perniagaan yang teguh dan menekankan pertumbuhan, produktiviti serta kekuatan kewangan.
Bagaimanapun katanya, tinjauan untuk tahun ini amat sukar diduga, tetapi dengan selesainya pemerolehan syarikat konsesi dan jangkaan aliran tunai yang kukuh WGB merasa positif untuk menerajui industri pengurusan kemudahan bersebagai sebagai pemain industri yang maju.
“Kami juga optimis untuk mencapai hasil prestasi utama dan mengekalkan prestasi kewangan tahun ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut WGB, YBKU memegang konsesi 23 tahun bagi pembangunan dan penyelenggaraan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, Melaka yang akan tamat pada 2 Februari 2034.
Jelasnya, Kumpulan telah melengkapkan pemilikan ke atas syarikat pegangan YBKU, Serendah Heights Sdn. Bhd. pada penghujung Mac lalu.
Katanya, aktiviti perniagaan Serendah Heights hanya terhad kepada YBKU.
“RAM Ratings dalam kenyataan berkata dari perspektif aliran tunai, Widad Concession akan bergantung sepenuhnya kepada YBKU dan Serendah Heights bagi melaksanakan
tanggungjawabnya di bawah sukuk yang dicadangkan.
“Bagi memenuhi tanggungjawab itu, bayaran saham Murabahah separuh tahun dan dividen dari dua entiti tersebut akan digunakan bagi tujuan tersebut. YBKU juga menerima pembayaran segera daripada UiTM sejak menyiapkan kampus pada 30 Januari 2014. Pemotongan berkaitan prestasi adalah minimum pada kadar kurang dari 1 peratus setahun,” kata syarikat itu.
Disenaraikan di Bursa Malaysia, WGB terlibat dalam pembinaan, pengurusan emudahan bersepadu dan konsesi.
Ketika ini WGB memiliki pesanan buku sebanyak RM1.5 bilion yang dijana daripada pengurusan kemudahan bersepadu dan perniagaan pembinaan. – UTUSAN










