PTPTN bantu peminjam asnaf - Utusan Malaysia

PTPTN bantu peminjam asnaf

WAN Saiful Wan Jan (dua kanan) menyerahkan replika cek bantuan PTPTN kepada Haslinda Alias dalam satu majlis baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menjalin kerjasama dengan FGV Agro Fresh Technology Sdn. Bhd. (FGV Agro Fresh) bagi membantu peminjam asnaf menceburi bidang keusahawanan.

Kerjasama melalui Program PTPTN Prihatin itu untuk membantu peminjam dari golongan asnaf melalui perniagaan secara dalam talian selari dengan perubahan masa kini.

FGV Agro Fresh merupakan anak syarikat FGV Holdings Berhad yang mengendalikan perniagaan menjual barangan keperluan harian secara dalam talian melalui platform jenama Gogopasar.

Menurut PTPTN, melalui kerjasama itu, peminjam golongan asnaf akan dibantu untuk menjadi usahawan iaitu Gogoprenuer dalam memperkenal dan menjual barangan secara dalam talian sekitar Lembah Klang melalui platform berkenaan.

“PTPTN memberikan sumbangan wakalah zakat sebanyak RM100,000 kepada 20 peminjam PTPTN dalam kategori asnaf sebagai modal untuk memulakan perniagaan dengan kerjasama FGV Agro Fresh.

“Setiap peminjam akan menerima sumbangan sebanyak RM5,000 untuk setiap pakej Gogoprenuer merangkumi penyejuk khas dua pintu, kelas latihan termasuk enam bulan pemantauan, buku pemasaran dan perniagaan, bunting, banner, pelekat kereta, topi dan beju-T,” katanya dalam kenyataan.

Tambah perbadanan itu, peminjam yang berminat boleh memohon untuk menyertai program itu dengan membuat pendaftaran melalui kaedah yang akan dimaklumkan oleh FGV Agro Fresh.

Jelasnya, pengesahan status peminjam dan kategori asnah akan dilaksanakan oleh PTPTN melalui kerjasama dengan Lembaga Zakat negeri.

“Peminjam yang memenuhi kriteria akan melalui aset temuduga untuk pemilihan 20 peminjam yang berjaya menerima sumbangan tersebut,” katanya.

Simbolik penyerahan sumbangan PTPTN kepada FGV Agro Fres telah diadakan pada 30 Ogos lalu oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan kepada Ketua Pegawai Eksekutif FGV Agro Fresh, Haslinda Alias. Turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

“PTPTN mengharapkan kerjasama ini akan memberikan ruang dan peluang kepada peminjam PTPTN untuk meneruskan kehidupan dengan ekonomi yang lebih baik di kala
berdepan dengan kesukaran situasi pandemik Covid-19.

“Jalinan kerjasama ini juga dapat meluaskan sokongan komuniti kepada pembelian dalam talian melalui platform digital,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN