Platform tunggal untuk bantuan kerajaan - Utusan Malaysia

Platform tunggal untuk bantuan kerajaan

MUSTAPA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan memperkenalkan platform tunggal bagi menyelaraskan semua bantuan kerajaan kepada golongan memerlukan pada Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ketika ini banyak pihak dan jabatan kerajaan yang terlibat dalam memberikan bantuan namun ia tidak diselaraskan dengan baik.

Kata beliau, bantuan-bantuan tersebut termasuk bantuan kebajikan, biasiswa atau bantuan keperluan asas seperti makanan.

“Apa yang sedang dilakukan, dan ia sedang bergerak dengan baik, sebuah platform digital tunggal yang mana pegawai kerajaan mendapat akses (maklumat) seberapa banyak seseorang individu mendapat bantuan atau dia tidak mendapat apa-apa bantuan langsung.

“Dengan (platform) itu, kami berharap tiada lagi yang terkecuali (daripada mendapat sebarang bantuan),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan dalam Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan Malaysia 2021 yang diadakan secara maya.

Dalam ucapannya, Mustapa menekankan kepentingan untuk institusi perbankan menyokong usaha pemulihan ekonomi negara dengan menghulurkan sebanyak mungkin bantuan bagi membangunkan semula perniagaan yang terkesan akibat pandemik dan memacu proses pendigitalan dalam kalangan perniagaan.

Menggariskan tujuh bantuan yang boleh diusahakan institusi perbankan, beliau berharap kerjasama antara kerajaan dengan sektor perbankan dapat ditambah baik demi meningkatkan daya saing negara di peringkat global.

Tujuh bantuan yang digariskan ialah membantu membina semula perniagaan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS); membantu proses pendigitalan PMKS dan perniagaan lain; menyokong perniagaan berteknologi tinggi serta membantu pekerja sendiri beradaptasi dengan persekitaran industri yang lebih berteknologi tinggi.

Begitu juga, menurut Mustapa, institusi perbankan harus mendidik pelanggan dan rakyat Malaysia tentang kepentingan kemampanan, khususnya dalam mencapai piawaian persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG); melaksanakan lebih banyak tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta lebih galak mendanai kerjasama awam-swasta (PPP).

“Kami dalam kerajaan sedang mengusahakan strategi bagi menghadapi persekitaran pasca-Covid.

“Saya pasti, institusi perbankan akan turut hadir dengan strategi perniagaan bagi merebut peluang dalam dunia pasca-Covid kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN