PETALING JAYA: Pertama Digital Berhad mengumumkan bahawa anak syarikatnya, Television Airtime Services Sdn. Bhd. (TAS), telah menyelesaikan pemerolehan 24 peratus lagi saham biasa dalam syarikat perisian, DAPAT Vista (M) Sdn. Bhd. (Dapat) daripada HeiTech Padu Berhad (HTP).
Pada 23 Julai lalu, Pertama Digital memaklumkan bahawa TAS telah melaksanakan pilihan secara kontrak untuk memperoleh saham tersebut. Ia tambahan kepada 56 peratus yang sudah dimilikinya di dalam Dapat.
Menurut syarikat itu, pemerolehan tersebut berjaya diselesaikan hari ini. Ia menjadikan TAS sebagai pemegang saham majoriti Dapat dengan penguasaan sebanyak 80 peratus.
Pertama Digital pula mempunyai 51 peratus pegangan ekuiti di dalam TAS dan ia menjadikan syarikat itu mempunyai kepentingan efektif sekitar 41 peratus di dalam Dapat.
Pengarah Strategi Pertama Digital, Saify Akhtar berkata, perniagaan Dapat berkembang sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
“Peningkatan pegangan majoriti Pertama Digital dalam Dapat memungkinkan penyatuan sumbangan yang lebih besar kepada perniagaan syarikat,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dapat, Amanda Sabri berkata, syarikat mengendalikan eJamin, penyelesaian pembayaran jaminan mahkamah telefon pintar pertama di dunia
di mahkamah seluruh Malaysia.
Beliau berkata, pada 19 Julai lalu, syarikat telah menggunakan ciri-ciri eJamin+ untuk menaikkan had pemindahan bank bagi pembayaran jaminan mahkamah, dari RM30,000 hingga RM500,000 dalam satu transaksi.
Katanya, ciri itu akan tersedia di seluruh negara tidak lama lagi, meningkatkan kumpulan pengguna eJamin.
“Pada 1 September 2021, Dapat mengubah semula mySMS, platform dalam talian yang digunakan agensi kerajaan untuk berhubung dengan rakyat melalui pesanan ringkas yang boleh dipercayai, seperti temu janji hospital, kemasukan ke universiti awam dan maklumat mengenai zakat.
“Kami mengharapkan ketahanan dan ketangkasan mySMS yang lebih baik untuk mendorong penggunaan yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN








