Persatuan PKS bantah GST - Utusan Malaysia

Persatuan PKS bantah GST

PKS mahukan insentif untuk bersama-sama ke arah teknologi baharu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia membantah keras cadangan untuk melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 2022, khususnya dengan kadar cukai yang dicadangkan sebanyak empat peratus.

Presidennya, Datuk Michael Kang berkata, sekiranya cadangan itu diterima, ia bukan hanya akan mengganggu operasi perniagaan, malah menambah kos dan mempengaruhi pemulihan perniagaan.

“Tidak dinafikan GST adalah sistem cukai yang jauh lebih baik berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Tetapi sekarang bukan masa untuk memperkenalkannya kerana kami tidak melihat pemulihan perniagaan akan berlaku pada 2022.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan pelaksanaan GST apabila ekonomi negara sudah kembali pulih, mungkin pada 2023 atau 2024,” katanya dalam kenyataan.

Ujar Michael, pihaknya menyarankan kadar cukai sebanyak tiga peratus dan bukannya empat peratus, seperti yang diusul oleh beberapa pihak yang lain.

Katanya, baru-baru ini pihak persatuan telah membuat tinjauan mengenai kelangsungan hidup dan impak perniagaan PKS di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Hasil tinjauan itu menunjukkan 24 peratus PKS telah berhenti beroperasi, manakala 54 peratus PKS telah menutup perniagaan buat sementara waktu.

Dari segi prestasi syarikat pada 2020 berbanding 2019, hanya 4 peratus mencatatkan peningkatan, 8 peratus tiada perubahan, dan 88 peratus lagi menyaksikan penurunan prestasi.

Bagi prestasi syarikat pada Mei, Jun dan Julai 2021 pula, hanya dua peratus perniagaan yang mencatatkan peningkatan, tujuh peratus perniagaan tiada perubahan, 91 peratus mencatatkan penurunan dan 45 peratus mempertimbangkan untuk menutup perniagaan buat sementara waktu atau sepenuhnya, jika mereka tidak dapat memulakan perniagaan dengan segera.

Menurut Michael, hasil tinjauan itu menunjukkan sebahagian besar PKS berada pada tahap yang rapuh dan berkemungkinan untuk memberhentikan operasi sekiranya ekonomi masih ditutup.

“Dengan hasil tinjauan itu, kami menjangkakan 200,000 PKS akan tutup buat sementara waktu atau sepenuhnya pada akhir Oktober.

“Kami menggesa kerajaan untuk fokus kepada membantu PKS pulih secepat mungkin daripada menambah beban dan menimbulkan kesulitan buat perniagaan mereka,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan berusaha memberikan lebih banyak bantuan seperti pengecualian cukai pendapatan dan yuran lesen perniagaan untuk tahun ini, moratorium tambahan selama tiga bulan dengan faedah percuma, subsidi menyewa sebanyak 50 peratus, 50 peratus subsidi elektrik untuk syarikat yang terjejas serta pelanjutan tempoh selama tiga bulan di bawah program subsidi upah dan insentif untuk PKS memulakan perniagaan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN