Perodua tingkat pengeluaran - Utusan Malaysia

Perodua tingkat pengeluaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perodua menjangka jumlah pengeluaran dan pendaftaran kenderaannya akan meningkat berkali ganda pada bulan ini apabila keadaan kembali normal.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad, pada Ogos, Pe­rodua merekodkan peningkatan pendaftaran kenderaan kepada 6,988 unit daripada 655 Julai lalu.

Jelasnya, peningkatan berpunca daripada pertambahan produksi dan pembukaan pusat jualan secara beransur-ansur sejak 16 Ogos lalu.

“Setakat tahun ini (tahun ke tahun), Perodua telah mendaftarkan 104,933 kende­raan, penurunan 12.5 peratus daripada 119,977 kenderaan yang dijual antara Januari dan Ogos tahun lalu,” katanya dalam kenya­taan.

Zainal berkata, Perodua sedang berusaha untuk mengecilkan jurang tersebut dengan meningkatkan pengeluaran kenderaan dan menambahbaik prosedur operasi bagi memastikan ke­selamatan kakitangan dan pe­langgannya.

Tambahnya, berdasarkan fak­­tor waktu dan sumber sedia ada, Perodua menurunkan sasaran jualan sebanyak 10.8 peratus kepada 214,000 kenderaan berbanding sasaran sebanyak 240,000 unit yang diumumkan sebelum ini.

“Keutamaan kami kini adalah memastikan industri automotif dapat terus beroperasi dan bertahan tahun ini. Antara ancaman kepada sektor pengeluaran domestik dan antarabangsa termasuklah peningkatan kes Co­vid-19 dan kekurangan bekalan semikonduktor,” jelasnya.

Mengenai kekurangan cip semikonduktor, Zainal berkata, Pe­rodua masih memperolehi bekalan yang cukup untuk memastikan pengeluaran berjalan lancar tahun ini dan sebahagian besar tempahan yang tertunggak akan dapat dipenuhi.

“Buat masa ini, bekalan cip semikonduktor masih menjadi isu global dan kami bekerjasama dengan rakan kongsi dan para pembekal kami untuk menghadkan sebarang gangguan yang timbul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN