Percantuman Korean Air Lines, Asiana Airlines diluluskan - Utusan Malaysia

Percantuman Korean Air Lines, Asiana Airlines diluluskan

PERCANTUMAN Korea Air Lines dan Asiana Airlines dikatakan tidak menjadi penghalang bagi kemasukan dan pengembangan pasaran berkaitan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengumumkan kelulusan percantuman antara Korean Air Lines Co. Ltd. dengan Asiana Airlines Inc. yang merupakan percantuman berkaitan persaingan pertama di Malaysia.

Menurut Mavcom, oleh sebab percantuman itu melibatkan perkhidmatan penumpang udara antara Korea Selatan dengan Malaysia, Korean Air Lines dan Asiana Airlines telah mengemukakan Notis Sukarela dan Permohonan Percantuman Jangkaan kepada Mavcom pada 19 Mac lalu.

Katanya, percantuman yang dijangkakan tersebut juga ditakrifkan sebagai pertahanan firma yang gagal disebabkan Asiana Airlines telah mengalami masalah kewangan untuk sekian lama dan tidak dapat dipulihkan kecuali dengan percantuman yang dijangkakan.

“Setelah meneliti permohonan tersebut, Mavcom telah memutuskan bahawa percantuman tersebut tidak melanggar larangan di bawah Seksyen 54, Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 yang melarang sebarang percantuman yang akan mengakibatkan pengurangan persaingan yang substantial (SLC) dalam industri penerbangan.

“Keputusan yang dibuat oleh suruhanjaya ini merupakan kes percantuman pertama berkaitan persaingan yang dianalisis oleh mana-mana pihak berkuasa persaingan atau pengawal selia sektor di Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim, kelulusan yang diberikan untuk percantuman antara Korean Air Lines dan Asiana Airlines telah mempertimbangkan sepenuhnya maklumat dan maklum balas yang dikemukakan semua pihak serta penyelidikan serta analisis Mavcom sendiri.

Kata beliau, keputusan percantuman itu menunjukkan bahawa Bahagian VII: Persaingan dalam Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 setaraf dengan undang-undang persaingan antarabangsa.

“”(Ia juga menunjukkan) kemampuan dan kebolehupayaan Mavcom dalam melaksanakan analisis persaingan percantuman yang relevan untuk memastikan perlindungan dan perkembangan industri penerbangan Malaysia yang berterusan,” katanya.

Jelas Mavcom, dalam keputusan akhir, pihaknya menyimpulkan bahawa penguasaan pasaran selepas percantuman Korean Air Lines dengan Asiana Airlines bagi satu laluan penerbangan terus antara Seoul, Korea Selatan dengan Kota Kinabalu, Malaysia akan menjadi lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, katanya, percantuman tersebut tidak akan mengakibatkan sebarang kesan uinlateral atau menjadi penghalang bagi kemasukan dan pengembangan pasaran-pasaran berkaitan.

“Suruhanjaya juga menyatakan bahawa para penumpang dapat menggunakan kuasa timbal balas pembeli terhadap syarikat-syarikat penerbangan tersebut disebabkan peningkatan agensi pelancongan dalam talian serta pengawalseliaan ketat oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan (MOLIT) yang menghalang pihak-pihak yang bercantum daripada menaikkan harga tambang dengan ketara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN