Pengeluaran getah asli meningkat 22.3 peratus - Utusan Malaysia

Pengeluaran getah asli meningkat 22.3 peratus

SARUNG tangan merupakan eksport utama produk getah negara. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli meningkat 22.3 peratus pada Julai lalu kepada 47,473 tan metrik daripada 38,807 tan metrik bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pengeluaran tahunan komoditi itu turut meningkat sebanyak 13.6 peratus berbanding 41,801 tan metrik bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan pengeluaran itu disokong oleh pertumbuhan bulan ke bulan pengeluaran getah asli oleh sektor estet sebanyak 2.1 peratus dan sektor pekebun kecil (24.8 peratus).

“Manakala perbandingan tahun ke tahun, sektor kebun kecil kekal positif, iaitu 18 peratus, sebaliknya sektor estet menunjukkan prestasi negatif 17.6 peratus.

“Sumbangan utama pengeluaran getah asli di Malaysia adalah daripada sektor pekebun kecil (90.9 peratus) berbanding sektor estet (9.1 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Ujar beliau, seiring dengan peningkatan pengeluaran itu, jumlah stok getah asli turut menunjukkan peningkatan 16.0 peratus pada Julai lalu kepada 280,810 tan metrik berbanding 242,072 tan metrik bulan sebelumnya.

Selain itu, Mohd. Uzir memberitahu, eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,645 tan metrik pada Julailalu, meningkat 0.1 peratus berbanding Jun sebanyak 48,589 tan metrik.

Jelas beliau, China kekal sebagai destinasi utama eksport iaitu 44.6 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada bulan dilaporkan, diikuti Amerika Syarikat (7.7 peratus), Finland (5 peratus), Turki (2.8 peratus) dan Mesir (2.7 peratus).

“Prestasi eksport produk getah negara disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM3.9 billion pada Julai 2021, menurun sebanyak 39.9 peratus berbanding Jun (RM6.4 billion),” katanya.

Melihat kepada senario perbandingan harga purata bulanan, Lateks Pekat merekodkan penurunan sebanyak 12.4 peratus (494.38 sen sekilogram, Jun: 564.62 sen sekilogram) dan getah cair sebanyak 18.5 peratus (546.94 sen sekilogram, Jun: 671.47 sen sekilogram).

Keadaan yang sama turut berlaku kepada jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) CV dan L masing-masing menurun 12.2 dan 12.3 peratus.

Bagi harga bagi GMM lain, menunjukkan peningkatan iaitu GMM 5 (1.4 peratus), GMM GP (1.5 peratus), GMM 10 (1.5 peratus) dan GMM 20 (1.5 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN