Pengekalan OPR wajar, kekalkan prestasi pasaran modal - Utusan Malaysia

Pengekalan OPR wajar, kekalkan prestasi pasaran modal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus adalah wajar bagi mengekalkan prestasi pasaran modal dan pengukuhan ringgit.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, negara-negara jiran juga tidak menurunkan kadar faedah masing-masing kerana dikhuatiri menjejaskan pemulihan pasca-pandemik.

Menurutnya, ia juga dipengaruhi oleh pasaran modal di Asia dan peringkat global.

“Dasar monetari BNM dirancang selepas mengkaji pelbagai data sama ada historikal atau simulasi unjuran ke hadapan. Sudah pasti BNM telah memikirkan sepenuhnya bahawa keputusan itu adalah yang terbaik bagi beberapa bulan kehadapan.

“Ekonomi negara juga berada dalam situasi pemulihan, terutama eksport negara mengekalkan rentak positif selain pembukaan ekonomi domestik yang lebih meluas menjelang akhir Oktober nanti setelah 80 peratus populasi dewasa menerima vaksinasi lengkap,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Semalam, bank pusat mengekalkan OPR pada 1.75 peratus berikutan ekonomi global terus pulih disokong peningkatan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.

Bagi ekonomi Malaysia, BNM berkata, pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara bagi mengekang penularan semula kes Covid-19 telah memperlahankan momentum pertumbuhan dan kelonggaran operasi sektor ekonomi secara berperingkat baru-baru ini akan mengurangkan kesan tersebut dan membolehkan ekonomi terus berada pada landasan pemulihan.

Sementara itu, Ahli Ekonomi OCBC, Wellian Wiranto berpendapat, OPR pada 1.75 peratus sukar untuk berubah dan berkemungkinan kekal untuk satu tempoh yang panjang melainkan berlakunya peristiwa lebih buruk.

“Sekiranya sekatan pergerakan berlanjutan selama berbulan-bulan mengakibatkan gelombang kemelesetan teknikal tidak berubah, manifestasi risiko yang jauh lebih besar diperlukan oleh BNM untuk meredakannya.

“Sebelum ini kami telah menekankan pandangan yang ekonomi negara perlu mendapat sedikit ‘dorongan’ daripada pelonggaran dasar monetari selepas BNM menyemak turun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 antara 3.0 hingga 4.0 peratus berbanding 7.5 peratus.

“Terbukti BNM mengambil pilihan selamat dengan mengekalkan OPR seperti yang diharapkan banyak pihak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN