Pendapatan pelaburan KWSP meningkat RM6.79 bilion - Utusan Malaysia

Pendapatan pelaburan KWSP meningkat RM6.79 bilion

SETAKAT akhir Jun 2021, aset pelaburan KWSP berjumlah RM989.14 bilion, yang mana 37 peratus adalah pelaburan di luar negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM34.05 bilion pada separuh pertama tahun ini, berakhir 30 Jun lalu, peningkatan sebanyak RM6.79 bilion atau 25 peratus daripada RM27.26 bilion tempoh sama 2020.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar dana pencen itu untuk suku kedua (S2) 2021 berjumlah RM14.77 bilion, RM0.35 bilion lebih rendah daripada RM15.12 bilion dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Menurut KWSP, ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan sebanyak RM7.89 bilion, merangkumi 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar.

“Sebagai polisi untuk mengekalkan portfolio yang sihat, KWSP telah mengamalkan turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai. Turun nilai kos pada S2 2021 adalah sebanyak RM0.21 bilion berbanding RM1.66 bilion untuk suku tahun sama 2020, berikutan pemulihan pasaran global yang berterusan.

“Setelah mengambil kira turun nilai kos ini, sejumlah RM14.56 bilion pendapatan pelaburan bersih telah dicatatkan pada S2 2021, iaitu 8 peratus lebih tinggi daripada RM13.46 bilion yang dicatatkan pada S2 2020,” katanya dalam kenyataan, semalam.

AMIR HAMZAH AZIZAN

Mengulas prestasi tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi kukuh dicapai oleh KWSP pada separuh pertama 2021 itu dipacu oleh pemulihan progresif di pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas-kelas aset lain, tatkala pasaran global mengalami kebangkitan semula.

Beliau berkata, pelaksanaan program vaksin Covid-19 yang sedang giat dijalankan, di samping pembukaan semula sektor ekonomi, telah meningkatkan prestasi ekuiti di pasaran maju.

“Walau bagaimanapun, prestasi ekuiti di pasaran baru muncul adalah lebih lembab berikutan peningkatan kes Covid-19 di beberapa negara di Asia Tenggara, dan disusuli kejatuhan harga saham yang ketara akibat tindakan pihak berkuasa China yang mengetatkan peraturan ke atas sesetengah sektor,” katanya.

KWSP berkata, instrumen pendapatan tetap terus menyumbang pendapatan yang stabil sebanyak RM5.28 bilion, atau 36 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada S2 2021.

Ia lebih rendah berbanding RM6.17 bilion yang dicatatkan pada S2 2020, berikutan pengurangan keuntungan dagangan, selaras dengan kadar faedah yang lebih tinggi pada S2 2021, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Jelasnya, hartanah dan infrastruktur, dan instrumen pasaran wang, pula masing-masing mencatatkan pendapatan RM1.40 bilion dan RM0.20 bilion.

“Kepelbagaian pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza terus memberikan kestabilan pendapatan dan menyumbang nilai tambah kepada pulangan keseluruhan,” katanya.

Jelas KWSP, setakat akhir Jun 2021, aset pelaburan KWSP berjumlah RM989.14 bilion, yang mana 37 peratus adalah pelaburan di luar negara.

“Pada S2 2021, pelaburan luar negara telah menjana pendapatan sebanyak RM8.71 bilion, iaitu 59 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN