Pendapatan AirAsia meningkat 161 peratus - Utusan Malaysia

Pendapatan AirAsia meningkat 161 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AirAsia Group Berhad mencatatkan pendapatan sebanyak RM371 juta pada suku kedua 2021, peningkatan 161 peratus berbanding suku sama tahun lalu dan 24 peratus berbanding suku pertama 2021.

Menurut syarikat penerbangan itu, pendapatan penerbangannya berkurang lapan peratus suku ke suku tetapi meningkat 176 peratus tahun ke tahun disebabkan asas rendah memandangkan hampir seluruh suku kedua 2020 terkesan dengan penutupan sempadan dan sekatan pergerakan akibat pandemik Covid-19.

Perniagaan digital pula merekodkan pendapatan yang lebih kukuh, meningkat 147 peratus tahun ke tahun hasil sumbangan Teleport, yang mencatatkan pendapatan tiga kali ganda lebih tinggi tahun ke tahun hasil peningkatan jumlah penerbangan kargo dan penghantaran.

“Kerugian EBITDA adalah pada RM207 juta untuk suku tersebut, yang berkurang 70 peratus tahun ke tahun dan lima peratus suku ke suku.

“Kos tetap berjaya dikurangkan sebanyak 15 peratus tahun ke tahun walaupun asas pada suku kedua 2020 adalah rendah, sebahagian besarnya disumbangkan kos kakitangan yang lebih rendah,” katanya dalam kenyataan.

Menurut AirAsia, aliran tunai operasi bersihnya lebih rendah berbanding suku sebelumnya pada purata RM62 juta sebulan pada suku kedua 2021.

Selain itu, Super App AirAsia juga melaporkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh pada 39 peratus tahun ke tahun, didorong oleh penawaran produk baharu dan komisen.

“BigPay mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang signifikan, meningkat 56 peratus didorong oleh pembayaran dan kiriman wang.

“Pendapatan Teleport meningkat tiga kali ganda tahun ke tahun disebabkan peningkatan jumlah penerbangan kargo sahaja dan jumlah permintaan penghantaran yang signifikan melalui rangkaian kargo yang menghubungkan India, China, Korea Selatan dan Jepun menerusi Asia Tenggara,” katanya.

Kumpulan itu merekodkan kerugian selepas cukai bersih (NLAT) sebanyak RM720 juta, yang berkurang 38 peratus berbanding NLAT RM1.2 bilion pada suku kedua 2020.

Menurut syarikat itu, walaupun pendapatan penerbangan lebih tinggi, pengurusan kapasiti aktif dan penumpuan kepada penerbangan paling menguntungkan selain penstrukturan semula pajakan, mengoptimumkan aset dan kawalan kos bersasar menghasilkan 54 peratus pengurangan dalam perbelanjaan operasi penerbangan tahun ke tahun.

“Ketiadaan kerugian pertukaran bahan api untuk suku itu juga menyumbang kepada prestasi yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN