Pemasaran dengan Google My Business - Utusan Malaysia

Pemasaran dengan Google My Business

PLATFORM Google My Business menyediakan pelbagai kemudahan kepada pemilik akaun untuk memaparkan profil perniagaan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini ramai dalam kalangan ahli perniagaan, para pemasar dan peneraju industri bersependapat; sekiranya perniagaan yang anda usahakan masih tidak dapat ditemui di enjin carian, ini bermaksud perniagaan tersebut masih belum benar-benar berniaga. Kewujudan di enjin carian sudah menjadi antara aspek penting yang perlu dikuasai oleh setiap perniagaan agar dapat tersenarai untuk rujukan para pencari maklumat di ruangan dunia dalam talian.

Kini terdapat pelbagai cara untuk mencipta ‘visibility’ enjin carian. Kaedah pendekatan yang biasa dilakukan adalah dengan membangunkan sebuah laman sesawang rasmi dan mendaftar akaun media sosial seperti Linkedin, Facebook, Twitter, Instagram atau seumpamanya. Namun, dalam rangka meningkatkan lagi authoriti dan kredibiliti carian di ruangan digital ini, Google My Business menjadi salah satu elemen penting dalam memastikan perniagaan yang diusahakan tersenarai pada kedudukan paling strategik di enjin carian.

Google My Business merupakan salah satu platform sokongan pemasaran digital yang disediakan secara percuma oleh Google bagi membantu setiap perniagaan membina kewujudan maya yang lebih baik pada penelusuran enjin carian. Ini bermaksud, perniagaan yang mendaftar akaun Google My Business dapat tersenarai pada kedudukan yang lebih terserlah berserta maklumat dan paparan yang lebih menarik kepada bakal pelanggan dan prospek pasaran. Ia secara tidak langsung dapat membantu dalam menyokong reputasi perniagaan serta potensi pasaran melalui kredibiliti enjin carian Google.

Paparan hasil carian terhadap akaun Google My Business juga mempunyai penerampilan yang berbeza dari kedudukan penyenaraian biasa. Ia dipaparkan pada bahagian atas kanan untuk paparan desktop dan kedudukan paling atas melalui peranti pintar. Maklumat perniagaan juga ditampilkan dalam satu ruangan bersama gambar, profil ringkas dan peta lokasi secara teratur.

Berdasarkan kenyataan Google, peningkatan persaingan digital pada tahun 2021 dan seterusnya telah memberi kelebihan kepada Google My Business untuk menjadi salah satu platform pilihan strategik dalam memperkukuh lokaliti pasaran. Kini, ia bukan sahaja dimanfaatkan oleh syarikat bertaraf multinasional, sektor industri dan komersil serta para profesional, malah turut merangkumi kepentingan bagi perusahaan kecil dan sederhana, sehinggalah peniaga mikro dan para freelancer dalam membina kredibiliti pasaran digital.

Platform Google My Business menyediakan pelbagai kemudahan kepada pemilik akaun untuk memaparkan profil perniagaan merangkumi nama syarikat dan aktiviti yang dijalankan, waktu beroperasi serta maklumat perhubungan. Terdapat juga pautan yang boleh diintegrasi dengan platform digital yang lain, termasuk pautan Google Maps bagi memudahkan bakal pelanggan untuk berkunjung ke premis perniagaan.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan ruangan blog untuk pemilik akaun mencipta kandungan berkaitan produk, perkhidmatan atau aktiviti perniagaan sebagai sebahagian elemen pemasaran dan promosi untuk dikongsikan dari masa ke semasa. ia turut menyediakan ruangan rebiu pelanggan dalam membantu membina testimoni saranan pengguna terhadap syarikat, produk atau perkhidmatan kepada rujukan umum.

Memiliki akaun Google My Business juga merupakan syarat untuk beriklan melalui Pemasaran Enjin Carian. Sekiranya anda berhasrat melaksanakan aktiviti pemasaran melalui Google Ads namun masih belum memiliki laman sesawang, pihak Google akan mendapatkan sumber maklumat perniagaan dan kandungan artikel di Google My Business. Ini kerana, Google Ads tidak dapat dilakukan tanpa Google My Business dan laman sesawang.

Mendaftar akaun Google My Business juga amat mudah. Anda boleh layari halaman rasmi “Google My Business” serta ikuti panduan yang telah disediakan. Ia merupakan satu lagi landasan penting dalam memperkukuh potensi pasaran digital yang kini semakin berkembang pesat.

PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN