OPR kekal 1.75 peratus - Utusan Malaysia

OPR kekal 1.75 peratus

1mdb
MPC memutuskan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas setelah mengambil kira prospek pertumbuhan dalam negara yang terus berdaya tahan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Bank pusat dalam kenyataannya berkata, ekonomi global terus pulih disokong peningkatan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan walaupun berbeza kekuatan mengikut liputan pemberian vaksin, pelonggaran langkah-langkah pembendungan dan tahap sokongan dasar setiap negara.

“Negara-negara yang mencapai kemajuan yang lebih baik dalam pelaksanaan program pemberian vaksin telah dapat melonggarkan langkah-langkah pembendungan dan membolehkan aktiviti dalam negeri terus pulih.

“Rangsangan fiskal dan monetari yang besar di beberapa negara maju terus menyokong momentum pemulihan, manakala keadaan kewangan juga kekal menyokong pertumbuhan.

“Secara keseluruhan, imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan global cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan disebabkan ketidakpastian perkembangan pandemik berikutan munculnya varian yang membimbangkan dan potensi risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara kerana perubahan dasar monetari ekonomi utama,” jelas kenyataan itu.

Bagi ekonomi Malaysia, BNM berkata, pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara bagi mengekang penularan semula kes Covid-19 telah memperlahankan momentum pertumbuhan.

Walau bagaimanapun, katanya, pelonggaran yang diberikan secara berperingkat baru-baru ini kepada lebih banyak sektor ekonomi untuk beroperasi, di samping kemampuan syarikat yang lebih tinggi untuk membuat penyesuaian dalam persekitaran operasi yang baharu serta sokongan dasar yang berterusan, sebahagiannya akan mengurangkan kesan tersebut dan membolehkan ekonomi terus berada pada landasan pemulihan.

“Pada masa hadapan, pelonggaran langkah-langkah pembendungan yang selanjutnya, kemajuan pesat program pemberian vaksin dalam negeri dan pengembangan permintaan global yang berterusan akan menyokong momentum pertumbuhan menjelang tahun 2022.

“Namun, risiko terhadap prospek pertumbuhan kekal cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan dalam negeri.

“Faktor-faktor ini termasuk kelewatan dalam pelonggaran atau pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan secara keseluruhan disebabkan kesan varian baharu dan pemulihan pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan,” ujarnya.

Sejak awal tahun hingga kini, purata inflasi keseluruhan ialah 2.3 peratus dan diunjurkan antara 2.0 hingga 3.0 peratus pada tahun ini.

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah, berpurata antara 0.5 hingga 1.5 peratus untuk tahun ini, dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

Namun, prospek ini terus bergantung pada perkembangan harga komoditi global dan langkah-langkah dasar bagi meringankan bebanan kos yang ditanggung oleh orang ramai. Inflasi asas juga dijangka kekal rendah secara relatif pada 2022.

MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif, selain langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi.

“Berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

“BNM terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN