Ninja Van kumpul dana AS$578 juta - Utusan Malaysia

Ninja Van kumpul dana AS$578 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat logistik berkeupayaan teknologi, Ninja Van mengumumkan kejayaannya mengumpulkan dana sebanyak AS$578 juta (RM2.42 bilion) menerusi pusingan pendanaan Siri E.

Pusingan pendanaan terbaharu itu melibatkan penyertaan para pelabur sedia ada termasuk Geopost/DBPgroup, B Capital Group, Monk’s Hill Ventures dan Zamrud, sebagai entiti yang dikaitkan dengan dana kejayaan berdaulat Asia Tenggara.

Menurut Ninja Van, Alibaba Group, syarikat induk Lazada, turut menyertai pusingan berkenaan.

“Dana daripada pusingan pelaburan ini akan diperuntukkan untuk membangunkan infrastruktur dan sistem teknologi yang akan menyokong struktur kos jangka panjang yang mapan serta kualiti dan ketekalan operasi Ninja Van.

“Dana akan turut dilaburkan dalam penyelesaian rantaian mikro bekalan Ninja Van bagi membantu perniagaan di Asia Tenggara menggunakan sepenuhnya peluang dalam e-dagang,” katanya dalam kenyataan.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Nin Van Grop, Lai Chang Wen berkata, kualiti para pelabur yang menyertai pusingan pelaburan itu menunjukkan isyarat jelas bahawa pasaran menyedari peluang-peluang baharu muncul bagi logistik e-dagang di Asia Tenggara.

Kata beliau, sebagai syarikat yang bertapak di rantau ini, Ninja Van berupaya memainkan peranan utama dalam memenuhi permintaan perniagaan dan pengguna yang sentiasa berubah.

“Kami kekal komited ke arah kejayaan semua rakan kongsi apabila kami melangkah ke peringkat pertumbuhan mapan dan inovasi yang seterusnya. Sokongan yang diterima daripada para pelabur akan membolehkan kami meneruskan momentum perniagaan yang telah dicapai sehingga kini,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 2014, Ninja Van telah menjadi pengusaha logistik serantau antara yang terkemuka di Asia Tenggara meliputi Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina yang menghubungkan lebih 1.5 juta pengirim aktif dengan hampir 100 juta penerima.

Syarikat itu mempunyai lebih 61,000 kakitangan dan pekerja penghantaran yang menyokong penghantaran lebih 2 juta bungkusan sehari di seluruh rantau ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN