PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada Julai 2021 berjumlah RM119.80 bilion, tumbuh sebanyak 0.6 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).
Nilai jualan tersebut bagaimanapun menurun 3.6 peratus jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan nilai jualan bulan dilaporkan dipacu oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 42.3 peratus, terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.
“Perkembangan itu juga didorong oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (7.1 peratus), yang disokong oleh industri pembuatan produk makanan.
“Jumlah pekerja sektor pembuatan pada Julai 2021 adalah seramai 2,210,084 orang, meningkat 0.8 peratus berbanding 2,192,260 orang pada Julai 2020,” katanya dalam kenyataan.
Ujar Mohd. Uzir, peningkatan itu disumbangkan oleh pekerja dalam produk elektrik dan elektronik (3.4 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (2.5 peratus).
Beliau memberitahu, jumlah gaji dan upah yang dibayar pada bulan dikaji adalah berjumlah RM7,194.8 juta, meningkat 1.5 peratus atau RM104.0 juta berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, nilai jualan setiap pekerja menurun 0.2 peratus kepada RM54,222 berbanding bulan yang sama tahun lalu.
“Selain itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,255 pada Julai 2021,” katanya. – UTUSAN










