PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan untuk melahirkan lima syarikat pemula (unicorn) teknologi terbesar tempatan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, MOSTI menerusi agensi modal teroka, Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) akan membantu kementerian bagi mencapai sasaran itu.
Beliau berkata, sasaran itu akan dapat dicapai menerusi penerapan elemen Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE).
“MySTIE antara lain merangkumi elemen teknologi sensor, keselamatan siber, teknologi neuro, pembangunan bandar pintar, kesihatan dan agrikultur,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.
Katanya, elemen pendigitalan akan diberikan pengkhususan dalam membina syarikat unicorn berkenaan.
Adham berkata, elemen pendigitalan banyak membantu syarikat dan usahawan tempatan khususnya bagi membangunkan perniagaan masing-masing.
Beliau memuji kejayaan diraih Platform e-dagang kereta bersepadu, Carsome yang berjaya muncul sebagai syarikat unicorn pertama di Malaysia bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.15 bilion).
“Kejayaan diraih Carsome itu membuktikan kemampuan bakat Malaysia sekali gus membanggakan negara di persada dunia,” katanya.
Katanya, MAVCAP bersama syarikat modal teroka lain mempunyai peranan penting untuk terus memacu keusahawanan dan membantu syarikat pemula tempatan menjadi juara antarabangsa.
Dalam pada itu, Adham berkata, MAVCAP bersama syarikat modal teroka tempatan sudah menyalurkan bantuan kewangan berbentuk geran, ekuiti dan pinjaman kepada syarikat pemula tempatan tahun ini.
Sementara itu, Pengerusi MAVCAP, Tunku Alizakri Alias berkata, pihaknya gembira dengan kejayaan diraih Carsome dan MAVCAP adalah antara syarikat modal teroka yang membantu syarikat itu lima tahun lalu.
“Kami menyahut seruan MOSTI untuk melahirkan lima syarikat unicorn tempatan dalam tempoh lima tahun ini,” katanya. – UTUSAN








