Bantu kontraktor hadapi layanan tidak adil di luar negara
PETALING JAYA: Campur tangan strategik dan perhubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G) yang terancang mampu membantu kontraktor bumiputera mengatasi cabaran luar biasa setiap kali menjalankan operasi di luar negara.
Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) percaya, terdapat peluang untuk kontraktor bumiputera yang berkelayakan dan terbukti kredibilitinya menembusi pasaran global, namun sering berhadapan rintangan seperti halangan bukan tarif, amalan perolehan yang tidak adil dan layanan tidak setara oleh pemerintah negara tersebut.
Justeru, Presiden PKBM, Datuk Azman Yusoff berkata, kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Luar (Wisma Putra) perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membantu kontraktor menyelesaikan masalah ini dengan cepat dan adil.
Menurutnya, dalam ekonomi global sekarang, kontraktor mesti beroperasi di luar Malaysia sekiranya mereka ingin berkembang lebih maju dan mampan namun, kebanyakan kontraktor berhadapan kesukaran ketika beroperasi di negara asing dengan cabaran melangkaui normaliti operasi harian.
“Sebagai contoh dalam kes baru-baru ini, pakar pembinaan dan pemaju hartanah Bumiputera, WZR Property Sdn Bhd (WZR) masih menunggu penyelesaian penuh yang diperintahkan mahkamah yang melibatkan kerajaan Maldives kerana melanggar kontrak dengan bayaran hampir RM100 juta.
“Pemerintah asing mungkin merasakan bahawa sebuah syarikat swasta dari negara yang kecil dan tidak penting, oleh itu mengabaikan hak mereka dengan membayar pampasan atas pelanggaran kontrak,” katanya dalam kenyataan.
Tegas beliau, adalah lebih baik sekiranya kerajaan Malaysia cuba membantu dalam mendapatkan jalan penyelesaian melalui perspektif G2G.
“Kita sebagai sebuah negara tidak boleh membiarkan sebuah syarikat cemerlang mengalami kerugian besar kerana amalan yang tidak adil.
“Walaupun begitu, sebarang timbang tara berdasarkan G2G atau Kerajaan kepada Perniagaan (G2B) harus seiring dengan undang-undang dan amalan terbaik antarabangsa untuk menjaga reputasi Malaysia serta hubungan korporat dan perniagaannya,” jelasnya. – UTUSAN










