Minyak kembali stabil setelah mengalami kejatuhan - Utusan Malaysia

Minyak kembali stabil setelah mengalami kejatuhan

PROSES pemulihan kilang-kilang di rantau Teluk AS dan kemudahan minyak di luar pesisir mengurangkan stok minyak mentah dan bahan api AS secara mendadak minggu lalu. - GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Harga minyak mentah kembali stabil setelah mencatatkan penurunan selama dua hari berturut-turut ketika para pelabur menilai prospek permintaan yang dikaburkan oleh kemunculan semula wabak Covid-19 di banyak wilayah.

Reuters melaporkan, niaga hadapan di New York melebihi paras AS$68 (RM282.68) setong setelah merosot lebih daripada dua peratus dalam dua sesi terakhir.

Jelasnya, walaupun terdapat banyak permintaan yang kuat di beberapa wilayah termasuk Eropah, virus varian Delta yang menular dengan pantas telah menyebabkan sekatan perjalanan dilakukan semula di kawasan lain.

“Dolar yang lebih kukuh juga menjadikan komoditi yang berharga dalam mata wang menjadi lebih mahal.

“Walaupun penularan varian Delta telah mengganggu penggunaan bahan bakar, namun China, pengimport terbesar di dunia, telah berjaya mengawal dan mengatasi penularan wabak tersebut, dan pasaran dijangka akan mengetat hingga akhir tahun ini,” katanya.

Dari segi harga pula, penghantaran West Texas Interme­diate (WTI) untuk Oktober telah me­ningkat 0.2 peratus kepada AS$68.46 (RM284.59) setong di New York Mercantile Exchange setelah merosot 2.3 peratus dalam dua sesi terakhir sebelum ini.

Harga penyelesaian Brent untuk November pula stabil pada AS$71.66 (RM297.89) di bursa ICE Futures Europe setelah jatuh 0.7 peratus, kelmarin.

Jangkitan Covid-19 telah me­lonjak ke tahap tertinggi dalam setahun di Singapura dan negara itu tidak menolak untuk me­laksanakan sekatan perjalanan semula, sementara Filipina te­lah berubah fikiran untuk memberi kelonggaran pergerakan di ibu negaranya.

Di Amerika Syarikat (AS), jumlah kematian telah melebihi 650,000 walaupun 75 peratus penduduk dewasa telah diberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN