PETALING JAYA: Malaysia adalah antara rakan dagang penting Qatar, dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencapai QR1.75 bilion (RM2.02 bilion) tahun lalu, menurut Anggota Lembaga Dewan Perniagaan Qatar (QC) Dr. Mohamed Jawhar Al Mohamed.
Memetik portal The Peninsular, beliau dilaporkan berkata, terdapat 40 syarikat Malaysia yang beroperasi di Qatar, termasuk lima syarikat dengan modal penuh Malaysia yang aktif dalam pelbagai sektor ekonomi.
Jelasnya, lawatan antara pemimpin telah menyumbang kepada perkembangan hubungan antara kedua-dua negara sekali gus membawa ke tahap yang lebih tinggi di semua bidang terutama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan dan pembangunan manusia.
“Malaysia adalah destinasi utama pelaburan Qatar dalam banyak bidang termasuk pelancongan, perhotelan, kewangan, hartanah, dan industri.
“Malaysia berjaya membina ekonomi yang kuat berdasarkan penggunaan teknologi tinggi yang optimum, manakala Qatar telah berjaya membina ekonomi yang merupakan antara yang berkembang pesat di seluruh dunia dan membangunkan infrastruktur canggih, selain mengeluarkan beberapa undang-undang yang membantu menarik pelaburan serta syarikat asing dan antarabangsa terkemuka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam mesyuarat Majlis Perniagaan Qatar-Malaysia secara maya.
Mesyuarat itu diketuai Mohamed yang mengetuai pihak Qatar sementara Malaysia diketua oleh Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-Qatar, Mohamed Razeek Hussain.
Mohamed turut menegaskan, Qatar mengalu-alukan semua pelaburan dan menyeru syarikat Malaysia untuk meningkatkan pelaburan mereka di Qatar dan memanfaatkan insentif yang ditawarkan untuk pelabur asing seperti Pelaburan Bukan Modal dalam Undang-Undang Kegiatan Ekonomi yang memungkinkan pemilikan penuh di kebanyakan sektor ekonomi, selain insentif yang ditawarkan untuk zon bebas, perindustrian dan logistik.
Beliau meminta warga Qatar dan pengusaha Malaysia memanfaatkan potensi besar yang ada di kedua-dua negara dan insentif pelaburan untuk mewujudkan perniagaan dan projek bersama, terutama dengan penganjuran Piala Dunia 2022 di Qatar, yang menawarkan banyak peluang kerjasama di antara sektor swasta Qatar dan Malaysia. – UTUSAN










