MAHB optimis pemulihan industri - Utusan Malaysia

MAHB optimis pemulihan industri

KLIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjangkakan pemulihan industri penerbangan dapat dicapai berdasarkan perkembangan industri tersebut di peringkat domestik dan global setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, pada tahun ini, pihaknya dijangka mencapai lima hingga 10 peratus trafik penumpang berbanding kadar sebelum pandemik, bersamaan lima hingga 10 juta penumpang.

Kata beliau, ia didorong pembukaan semula sektor pelancongan domestik melalui pelaksanaan gelembung pelancongan bermula dengan destinasi perintis, Langkawi minggu lalu.

“Bukan sahaja kami fokus untuk menambah baik aliran tunai kepada tahap sebelum pandemik namun kami turut menyediakan lapangan terbang dan kakitangan kami pada tahap keberkesanan operasi yang optimum untuk menerima penumpang sebaik sahaja sekatan dibuka.

“Kami melihat cahaya di hujung terowong, terutamanya dengan pembukaan semula pelancongan domestik.

“Dengan Langkawi sebagai destinasi perintis gelembung pelancongan domestik, kami pastinya menantikan operasi lapangan terbang kami untuk bermula sepenuhnya semula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Mesyuarat Agung Tahunan MAHB Ke-22 secara maya semalam yang turut dihadiri Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Pegawai Kewangan, Mohamed Rastam Shahrom.

Menurut Mohd. Shukrie, pihaknya mengambil kesempatan tempoh pandemik ini untuk menaik taraf dan melaksanakan pelan jangka panjangnya seperti penggantian aset kritikal dan inisiatif pembetulan semula komersialnya.

Kata beliau, hasilnya dapat dilihat apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disenaraikan sebagai 10 lapangan terbaik dunia untuk kategori lebih 40 juta penumpang setahun dalam tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) 2020 oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI).

“Untuk 2021, kumpulan memberi tumpuan kepada pemacu utama merangkumi pengurangan kos berbanding tahun kewangan 2020, pelaksanaan projek misi kritikan, penstabilan penarafan kredit, mencapai Kemudahan Kredit Pusingan untuk langkah kontingensi, pengurusan boleh terima proaktif dan libat urus bersama pelanggan.

“Langkah-langkah ini melengkapi pelan perniagaan Future FIT (kemampanan kewangan, berpandukan impak dan bertumpukan teknologi) yang memandu kumpulan untuk memaksimumkan penjanaan hasil, membangunkan kebolehan baharu dan memastikan kemampanan perniagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN