Lazada, FAMA bantu pendigitalan perniagaan usahawan tani - Utusan Malaysia

Lazada, FAMA bantu pendigitalan perniagaan usahawan tani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lazada Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berganding bahu menganjurkan program Onboarding Produk Agromakanan di Platform E-Dagang bagi membantu usahawan tani tempatan mendigitalkan perniagaan.

Menurut Lazada, projek perintis itu bakal menyaksikan ratusan usahawan tani tempatan memulakan perjalanan mereka di platform e-dagang Lazada dalam usaha menyokong sektor pertanian negara.

Tambah Lazada lagi, program itu akan turut disokong oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Program tersebut yang merupakan sebahagian daripada Inisiatif MDEC dalam Belanjawan 2021 untuk mempercepat proses pendigitalan ladang-ladang dan usahawan tani dalam usaha merangsang pertumbuhan kategori tersebut dalam ekonomi digital.

“Dengan kerjasama Lazada, FAMA akan menghubungkan rangkaian peladang mereka kepada platform e-dagang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Lazada, usahawan tani yang baru menyertai platform bukan sahaja boleh belajar di Universiti Lazada, malah dapat membantu mereka membuka gedung digital masing-masing selain menggunakan pelbagai alat digital untuk beroperasi dan menambah baik keupayaan jualan dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada, Magnus Ekbom berkata, pendigitalan sektor itu amat penting bagi memastikan perniagaan kecil dan sederhana dalam industri pertanian dapat mencapai kemampanan jangka panjang dalam era di mana pengguna berusaha mengurangkan sentuhan fizikal dan membeli-belah dalam talian untuk barangan runcit serta keperluan kini menjadi kebiasaan.

“Menerusi kerjasama ini, kami berharap masyarakat pertanian dapat mendigitalkan perniagaan dan memindahkan produk mereka ke dalam talian dengan bantuan Lazada.

“Platform Lazada menyediakan saluran terus untuk menjual hasil tanaman dalam talian yang dihantar terus ke meja pengguna pada harga yang lebih baik, manakala pengguna boleh membeli daripada mereka dengan lebih cekap dan pada harga yang lebih berpatutan.

“Usaha ini saling menguntungkan pengguna dan pengusaha pertanian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN