Laporan Tahunan TNB menang emas - Utusan Malaysia

Laporan Tahunan TNB menang emas

LAPORAN Tahunan TNB sering mendapat pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan Tahunan Integrasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapat pengiktirafan Anugerah Emas Australa­sian Reporting Awards (ARA) buat kali keempat.

Ia sekali gus mengulangi pencapaian pada 2017, 2018 dan 2020, selain turut memperoleh Gangsa pada 2016.

Dalam majlis yang diadakan secara maya dari Sydney, Australia pada 18 Ogos itu, TNB tersenarai sebagai penerima Anugerah Emas bersama 69 syarikat antarabangsa lain.

ARA yang disertai pelbagai organisasi korporat, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari serata negara Asia Pasifik ini turut meletakkan TNB sebagai pemenang Anugerah Perak bagi kategori Laporan Kelestarian dan Anugerah Khas untuk Laporan Keselamatan dan Kesihatan Kerja.

Dalam laporan kehakiman bagi Anugerah Khas, ARA menyebut Laporan Tahunan Integrasi TNB menyediakan liputan menyeluruh terhadap polisi pengurusan dan tindakan yang dilakukan bagi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan warga kerjanya serta membina budaya keselamatan yang kukuh.

“Ia melaporkan secara jujur kemalangan yang menyebabkan kematian dan kecederaan, serta langkah-langkah yang diambil bagi mengatasinya,” kata ARA.

NORAZNI MOHD. ISA

Setiausaha Syarikat TNB, Norazni Mohd. Isa menyifatkan anugerah yang diterima sebagai bukti kepada dedikasi, kerja keras dan semangat kerjasama warga TNB bagi mendapatkan hasil yang cemerlang.

“Semangat kerjasama adalah satu daripada enam nilai teras TNB yang berfungsi mengeratkan perpaduan antara 35,000 warga kerja TNB menuju ke arah aspirasi yang sama, iaitu menjadikan TNB sebagai pembekal terunggul solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa,” ujarnya.

Anugerah diperkenalkan sejak 1950 itu bertujuan memberi peluang kepada organisasi menanda aras laporan tahunan mereka berdasarkan kriteria ARA dengan berpandukan amalan terbaik dunia.

Pemenang anugerah dinilai berdasarkan kecemerlangan keseluruhan Laporan Tahunan, pernyataan menyeluruh aspek-aspek utama perniagaan teras serta menepati keperluan perundangan dan kawal selia yang ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×