PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan dua inisiatif baharu untuk majikan bagi meringkan pengurusan aliran kewangan mereka ketika tempoh pandemik, sekali gus membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab statutori ke atas pekerja.
Menurut KWSP, inisiatif itu ialah pengecualian caj lewat bayaran caruman dan tawaran insentif pengurangan caj lewat bayar (e-PaR).
Jelasnya, di bawah pengecualian caj lewat bayar caruman, majikan diberi kelonggaran untuk tempoh membayar caruman bulan semasa.
“Manakala melalui inisiatif tawaran insentif pengurangan caj lewat bayar, majikan berpeluang untuk mendapatkan pengurangan menyelesaikan baki caj lewat bayar yang tertunggak,” katanya dalam kenyataan.
KWSP menjelaskan, pengecualian caj lewat bayar caruman merujuk kepada caj yang dikenakan ke atas majikan yang gagal membayar caruman wajib KWSP pada atau sebelum 15 hari bulan setiap bulan.
Walaupun tarikh akhir untuk membayar caruman tersebut tidak berubah, melalui inisiatif itu majikan boleh membayar caruman mereka sehingga akhir setiap bulan tanpa dikenakan caj lewat bayar, jelasnya.
“Ini akan memberi fleksibiliti kepada majikan untuk mengurus aliran tunai mereka dengan lebih efektif semasa tempoh mencabar ini.
“Pihak majikan tidak perlu membuat sebarang permohonan untuk inisiatif ini yang akan berkuat kuasa secara automatik bermula caruman September hingga Disember 2021,” tambahnya.
Bagi inisiatif e-PaR pula, KWSP berkata, majikan ditawarkan pengurangan sehingga 70 peratus caj lewat bayar yang tertunggak bagi caruman lewat dibayar untuk mana-mana tempoh sebelum Ogos 2021.
Jelasnya, untuk layak mendapatkan pengurangan itu, majikan perlu memastikan caruman dan dividen yang tertunggak untuk pekerja mereka bagi tempoh sebelum Ogos 2021 telah diselesaikan sebelum 31 Disember tahun ini.
“Pengurangan caj lewat bayar caruman ini bertujuan untuk membantu majikan menguruskan aliran tunai mereka di samping menyediakan peluang dan insentif untuk mereka
menyelesaikan sebarang baki pembayaran caruman yang tertunggak,” jelas KWSP.
Menurut dana pencen itu, permohonan e-PaR akan dibuka mulai 13 September hingga 31 Disember 2021.
“KWSP menyedari cabaran kewangan yang sedang dihadapi oleh majikan sepanjang tempoh kawalan pergerakan dilaksanakan.
“Diharapkan kedua-dua inisiatif yang ditawarkan ini dapat mengurangkan impak pandemik ke atas operasi perniagaan selain memastikan majikan dapat meneruskan tanggungjawab membayar caruman pekerja untuk simpanan persaraan mereka,” katanya. – UTUSAN










