
PETALING JAYA: Kulim (Malaysia) Berhad (Kulim) melancarkan pelan transformasi lima tahun untuk menjadi peneraju dalam bidang agribisnes menjelang 2025.
Sebagai sebahagian daripada rancangan itu, Kulim menyasarkan untuk memperkukuh perniagaan terasnya, mewujudkan pertumbuhan baharu, meningkatkan kecemerlangan operasi di seluruh Kumpulan dan membuat persediaan untuk tawaran awam awal (IPO) pada 2024.
Menurut Pengarah Urusan Kulim, Mohd. Faris Adli Shukery, antara tugas utamanya di Kulim sejak meyandang jawatan tersebut pada Oktober tahun lalu, adalah untuk menyelaras haluan strategik syarikat itu.
Beliau berkata, pengemasan struktur perniagaan merangkumi pelupusan perniagaan dan aset bukan teras, syarikat dorman atau tidak aktif dan penambahbaikan kepada struktur organisasi yang dijangka selesai hujung tahun ini.
“Tujuan saya adalah untuk memperkukuh kedudukan Kulim sebagai peneraju agribisnes, mewujudkan legasi yang mampan dan organisasi menguntungkan yang dibina berdasarkan kepercayaan dan asas yang tepat untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun ke-88 syarikat itu.
Beliau turut merasmikan logo dan video korporat baharu Kulim sebagai sebahagian daripada penjenamaan semula untuk menggambarkan syarikat yang lebih kukuh.
Mohd. Faris berkata, di samping mengembangkan perniagaan huluan, tanaman bernilai tinggi dan kawasan pertumbuhan baharu khususnya pertanian pintar atau bersepadu dan pengurusan ternakan, Kulim juga meneroka perniagaan hiliran yang akan menyumbang kepada margin keseluruhan rantai nilai.
Beliau berkata, walaupun menghadapi cabaran pandemik Covid-19, Kulim berjaya mencatat peningkatan hasil sebanyak 17 peratus daripada RM1.21 bilion pada 2019 kepada RM1.41 bilion tahun lalu.
Katanya, peningkatan itu hasil daripada tenaga kerja Kulim yang kental, dibantu oleh program digitalisasi di bawah rancangan transformasi syarikat.
“Kami menerapkan sistem baharu untuk meningkatkan sistem pengurusan, operasi, tadbir urus dan perakaunan serta meningkatkan penjenteraan dan automasi dengan melabur lebih banyak untuk jentera,” jelas beliau. – UTUSAN








